| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

AERO-Putra Space Menang video terbaik Global Space Ballon Challenge 2016


Oleh: Dr. Ahmad Salahuddin Mohd Harithuddin

SERDANG, 10 Jun - 13 pelajar jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi tempat pertama dalam kategori video terbaik dalam Global Space Balloon Challenge 2016.

Buat julung kalinya UPM telah memenangi kategori Video Terbaik dan membawa pulang wang tunai sebanyak USD 300. Selain itu UPM juga merupakan satu-satunya Universiti di Asia yang berjaya memenangi salah satu kategori yang dipertandingkan.

Kejayaan pasukan yang mempertaruhkan kajian mereka dalam eksperimen High Altitude Balloon (HAB) Based System for Aerosol Sampling, Low-Cost Near-Infrared Agricultural Imaging Subsystem using High Altitude Balloon (HAB) dan Smart Memory Alloy Study Platform in High Altitude Environment telah menghasilkan inovasi dalam penyelidikan belon beraltitud tinggi Universiti Putra Malaysia.

Pasukan Aero-PUTRA Space yang diketuai oleh pelajar tahun dua, Bacelor Kejuruteraan Aeroangkasa, Mohd Fazri Sedan dianggotai oleh pelajar pra-siswazah dan siswazah dengan kerjasama daripada alumni dan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, UPM.

Sepanjang pertandingan yang berlangsung dari 11 April hingga 09 Mei lalu bertempat di negara masing-masing ini, Pasukan Aero-PUTRA telah melancarkan sebanyak 5 belon beraltitud tinggi yang mencapai ketinggian antara 20-38 km dari paras laut.

Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan UPM, Dr. Ahmad Salahuddin Mohd Harithuddin berkata pertandingan itu adalah platform terbaik untuk pelajar jurusan kejuruteraan untuk berekperimentasi dan mengaplikasikan pelajaran di kuliah terhadap masalah dunia sebenar di samping bersaing di peringkat global.

 
“Antara kriteria yang diambil kira dalam pemilihan pemenang ketegori video terbaik adalah keunikan, kesan khas dan penyampaian video yang menarik. Video juara ini juga mempamerkan lanskap sawah padi di sekitar Teluk Intan, Perak dengan menggunakan drone,” katanya.

Penasihat projek Global Space Balloon Challenge (GSBC) UPM, Dr. Syaril Azrad Md Ali berkata GSBC menyediakan platform bagi masyarakat sedunia untuk mempamerkan budaya kerja mereka dalam mendidik generasi akan datang tentang teknologi belon beraltitud tinggi. 

“Hasrat projek kami adalah untuk menghasilkan sebuah komuniti untuk berkongsi pengetahuan dengan masyarakat antarabangsa dan serta menjadikan belon beraltitud tinggi sebagai satu platform untuk kajian saintifik di ruang stratosfera,” katanya.

Selain itu, GSBC dianjurkan oleh Students for the Exploration and Development of Space (www.seds.org) dan Space Generation Advisory Council (www.spacegeneration.org) antara lainnya, merupakan satu pertandingan melancarkan belon beraltitud tinggi yang melibatkan peserta dari seluruh dunia.

Pada tahun ini seramai 407 pasukan daripada 54 buah negara telah menghantar pasukan masing-masing termasuk Malaysia. GSBC ditaja oleh Stanford University, Massachusetts Institute of Technology dan University of Michigan.

Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan dalam GSBC 2016, antaranya ialah Eksperimen Terbaik, Video Terbaik, Gambar Terbaik dan Inisiatif Pendidikan Terbaik. - UPM

 


SXDdIAw~