| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Akademi Sukan UPM anjur Forum Ke Arah Keseimbangan Ideal Sukan Dan Akademik

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang


SERDANG, 18 Julai – Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan forum bertajuk “Ke Arah Keseimbangan Ideal Sukan dan Akademik” untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang cabaran serta kaedah untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang Sukan dan Akademik.

Forum itu menampilkan barisan panel terdiri daripada Pesuruhjaya Sukan (Alumni UPM), Dato’ Zaiton Othman; Chef de Mission Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin; Atlet menembak dan pelajar UPM yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016, Johnathan Wong; Pengerusi Jawatankuasa Atlet Majlis Olimpik Malaysia (Alumni UPM), Noraseela Khalid dan Pengarah Sports Warrior Global (Alumni UPM), Sharon Wee.

Moderator forum ialah Ketua Produksi Sukan TV3, Abu Bakar Atan.



Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata pemikiran lama bahawa penglibatan sukan akan menjejaskan pencapaian akademik, tidak relevan lagi.

“Agensi pekerjaan turut memberi penekanan yang tinggi berkaitan penglibatan ko-kurikulum, iaitu sebagai pengukur keupayaan graduan untuk bekerja dalam kumpulan, mempunyai dedikasi dan disiplin yang tinggi.

“Sistem akademik di UPM amat peka kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh seseorang atlet, khususnya pengurusan masa untuk menghadiri latihan yang intensif, kewajipan melengkapkan kerja kursus, menghadiri kuliah dan sebagainya”, katanya semasa merasmikan forum itu.



Seramai 200 peserta dari program Komuniti Akademi Sukan terdiri daripada ahli Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan dan 80 pelajar sekolah yang aktif sukan dan kokurikulum menyertai program itu.

Dalam majlis yang sama UPM turut bekerjasama dengan Syarikat Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd untuk memberi tanda sokongan warga UPM kepada atlet UPM yang akan ke Sukan Olimpik Rio iaitu jam tangan pintar / digital Suunto Ambit 2 Sport HR bernilai RM6,000.

Pelajar UPM yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio adalah Jun Hoong Cheong (sukan terjun), Johnathan Wong (menembak) dan Zaidatul Husniah Zulkifli (olahraga).



Akademi Sukan UPM yang ditubuhkan pada tahun 2004 telah menjalankan program-program untuk memastikan UPM memberi sumbangan yang berimpak kepada pembangunan sukan tanahair dan antarabangsa termasuk program Memperkasakan Pemimpin Sukan dengan Institut Sukan Negara, membangunkan spesifikasi Sistem Pengurusan Sukan Bersepadu untuk Kementerian Belia dan Sukan, membangunkan portal pengurusan kontinjen Sukan SEA 2015, Bengkel Pembangunan Pelan Strategik untuk 51 Persatuan Sukan Kebangsaan secara bersama dengan Majlis Olimpik Malaysia dan Program Pensijilan Sukan untuk Ibubapa.

 

 


SXESLAK~