| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Dogathon 2012 himpun 900 ekor anjing di UPM


SERDANG, 4 Nov – Sebanyak 900 ekor anjing berjaya dihimpunkan pada program Dogathon 2012 anjuran pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengumpul dana membangunkan program Stray Animal Awareness dan Projek Pengkasian Haiwan Terbiar untuk (PRO-KASIH).

Pengarah program, Lim Zhi Jian berkata program yang bertemakan Howl with the hounds or you’re doomed! itu bermatlamat mengawal populasi haiwan kesayangan terbiar dengan cara dan kaedah yang berperikemanusiaan.

“Program ini untuk melatih serta memberi pendedahan kepada pelajar veterinar mengenai kerjaya sebenar ahli veterinar dan berharap Dogathon akan terus menarik lebih ramai pengunjung serta penaja untuk terlibat dalam program ini,” katanya pada majlis perasmian Dogathon 2012 di Bukit Ekspo, UPM.

Antara baka anjing yang terlibat adalah Beagle, Chihuahua, Dachshund, Dalmation, Doberman, German Shepherd, Golden Retriever, Labrador Retriever, Mongrel, Pomeranian, Pug, Schnauzer, Shih Tzu, Siberian Husky, Toy Poodle, Welsh Corgi dan Yorkshire Terrier.



Selain itu, Dogathon turut menyebarkan maklumat mengenai haiwan kesayangan kepada orang ramai dari pelbagai sudut seperti tanggungjawab sebagai pemeliharaan, penjagaan kesihatan haiwan kesayangan, kaedah perlaksanaan menjaga kebajikan haiwan terbiar dan maklumat kerjaya sebagai ahli veterinar.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Saleh Jaafar dalam ucapan perasmiannya berkata program itu platform terbaik pelajar veterinar untuk mengenali pemegang taruh dalam industri veterinar selain mendidik masyarakat penjagaan haiwan kesayangan.

“Program ini merupakan program ikon pelajar veterinar serta pelbagai ilmu baharu yang boleh dimanfaatkan, baik pelajar, tenaga pengajar dan juga umum,” katanya.

Turut hadir Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Prof. Dr. Mohd. Hair Bejo, Pengerusi Petpositive yang juga ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Datuk Anthony Thanasayan dan Ratu Cantik Dunia Malaysia 2009/2010, Thajuna Ananthan yang merupakan duta Persatuan Melindungi Haiwan Dengan Beretika (PETA).  

Dogathon yang bermula pada 1997 merupakan platform bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap haiwan kesayangan serta medan untuk membincangkan langkah yang berkesan dalam mengatasi permasalahan itu.



Berita ini disedikan oleh Noor Eszereen Juferi, 03-89466013 dan foto oleh Mohd Hasrul Hamdan, 03-89466189

SXETQAQ~