| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

FACE mampu tambah baik program pendidikan PERMATA Negara


SERDANG, 12 Sep – Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yakin Pusat Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak atau Family, Adolescent & Child Research Centre (FACE), Fakulti Ekologi Manusia berupaya menambahbaik program pendidikan PERMATA Negara yang sedia ada.

Keyakinan beliau bukan sahaja kerana UPM merupakan salah satu institusi yang terlibat di dalam penggubalan kurikulum PERMATA dan penglibatan FACE menjalankan penyelidikan kepada kanak-kanak tetapi  telah diperluaskan ke peringkat remaja dan keluarga.

“Saya berharap FACE melakukan penambahbaikan dengan menggunakan hasil penyelidikan terkini untuk memperkayakan lagi proses pengajaran dan pembelajaran kepada para pendidik PERMATA Negara.



“Saya menyeru UPM akan terus melipatgandakan usaha di dalam melatih para pendidik dengan ilmu-ilmu yang selari dengan perkembangan minda anak-anak PERMATA Negara.

“Harapan saya untuk melihat bakal sarjana dan teknokrat negara pada masa akan datang merupakan mereka yang terdidik daripada tenaga pengajar Program PERMATA Negara ini,” katanya semasa merasmikan FACE dan Makmal Taska Permata UPM di sini.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata Bahagian PERMATA telah melantik UPM sebagai lead agency bagi Program Latihan Pendidik PERMATA Negara dan telah menjadikan UPM sebagai agensi utama untuk melatih pendidik PERMATA sejak tahun 2010 yang lalu.

“Alhamdulillah, sehingga kini seramai 1,711 tenaga pendidik telah mengikuti Kursus Pendidik PERMATA Negara, dan 582 peserta lagi dilatih menerusi kursus Orientasi, Kursus Refresher Pendidik, Bengkel Pengurusan S.O.P dan Bengkel Pengurusan Murid,” katanya.



Sementara itu Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata UPM akan menjadikan FACE sebagai makmal sekolah untuk menyokong program PERMATA Negara dan meningkatkan pembangunan kurikulum berlandaskan kepada penyelidikan berterusan serta bersesuaian dengan tahap kanak-kanak di Malaysia.

“FACE juga meningkatkan kaedah pengajaran yang terbaik sesuai dengan keperluan kanak-kanak yang mengikuti PERMATA Negara termasuk pakej untuk melatih guru atau pendidik yang terlibat dalam projek PERMATA Negara dengan amalan pendidikan dan pengajaran terbaik,” katanya.

Dato’ Ir. Dr. Radin Umar berkata penyelidikan di FACE memberi tumpuan kepada perkembangan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak peringkat awal, perkembangan dan risiko psikososial remaja, perkahwinan dan perhubungan  keluarga dan keibubapaan.

“Walau bagaimanapun, pembangunan kurikulum yang efektif wajar berteraskan kepada kaedah evidence based untuk mengoptimumkan keberkesanannya terhadap kanak-kanak.

“Kepercayaan PERMATA Negara kepada UPM sebagai lead agency dan usahasama bestari bagi Program Latihan Pendidik PERMATA Negara amat dihargai dalam usaha memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak dan keluarga di Malaysia.

“Malah UPM telah bersedia untuk menawarkan Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang pembangunan serta perkembangan awal kanak-kanak yang setara dengan diploma pendidikan untuk PERMATA Negara untuk membangunkan laluan kerjaya yang lebih baik bagi pembangunan awal kanak-kanak di dalam sektor awam dan swasta,” katanya.

 



Pada majlis itu Datin Paduka Seri Rosmah melancarkan pakej Home Early Literacy Package for Kids (HELP-Kids) dan buku panduan Terapi Bermain: Pengesanan Awal Masalah Emosi Kanak-Kanak dan Intervensi Bermain yang dibangunkan oleh penyelidik FACE.

 HELP-Kids merupakan bahan rangsangan literasi bagi memupuk nilai suka membaca dalam kalangan kanak-kanak melalui penglibatan ibu bapa dari peringkat bayi hingga lima tahun. Melalui program itu, ibu bapa akan melakukan pembacaan dan bercerita kepada anak secara konsisten setiap hari berdasarkan tahap perkembangan umur anak mengikut tatacara yang betul.

Sementara buku Panduan Terapi Bermain menyediakan senarai semak  bagi mengenalpasti masalah berkaitan emosi, perubahan tingkah laku kanak-kanak dan langkah mengatasinya. Melalui senarai semak itu, ibu bapa, penjaga dan pendidik dapat melakukan pengesanan awal dalam mengenalpasti kanak-kanak yang bermasalah supaya langkah pencegahan dapat dilakukan dengan kadar segera.

 FACE

FACE memanfaatkan Makmal TASKA PERMATA UPM dan Makmal Prasekolah sebagai Laboratory School untuk menjalankan kajian berkaitan kanak-kanak dan keluarga. Antara kajian yang telah dijalankan oleh penyelidik FACE adalah faktor risiko kesihatan mental kanak-kanak, Home Emergent Literacy Package for Kids, kesejahteraan biopsikososial remaja, seksualiti remaja, kemurungan remaja, kanak-kanak dan remaja lari dari rumah, identiti dan kecerdasan emosi remaja berisiko, terapi bermain, kualiti perkahwinan, keibubapaan dan kebapaan.

FACE ditubuhkan secara rasmi pada 2008 di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia (FEM) UPM menawarkan perkhidmatan prasekolah dan taska. Kedua-dua perkhidmatan tersebut beroperasi sejak 1975 dan dinaiktaraf kepada Makmal Perkembangan Kanak-Kanak pada 1998.

Makmal Perkembangan Taman Asuhan di FACE menjadi makmal contoh untuk memantau perkembangan kanak-kanak sehingga mereka berumur 18 tahun. Kedua-dua makmal taska dan prasekolah ini dilengkapi prasarana bagi merangsang perkembangan kanak-kanak secara optimum.

Kerjasama bermula sejak 2010 apabila UPM dilantik oleh PERMATA Negara Jabatan Perdana Menteri untuk mengetuai program Latihan Pendidik PERMATA. Selain itu, FACE turut diiktiraf untuk mengawalselia peruntukan kewangan pembelian alat bantu mengajar bagi semua pusat jagaan Anak Permata Negara seluruh negara.


Berita ini disediakan oleh Khairul Anuar Muhamad Noh, 03-89467469 dan foto oleh Mohd Hasrul Hamdan, 03-89466189

SXDdJAq~