Graduan Bertanggungjawab Sama Jaga Keamanan: Tan Sri Lim Ah Lek | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Graduan bertanggungjawab sama jaga keamanan: Tan Sri Lim Ah Lek

Graduan bertanggungjawab sama jaga keamanan: Tan Sri Lim Ah Lek

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail and Noor Azreen Awang



SERDANG, 23 Okt - Para graduan sebagai golongan terpelajar, mesti sentiasa cermat dan bertanggungjawab dalam apa jua tindakan yang mereka ambil, kata Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Lim Ah Lek.

Beliau berkata, ia kerana mereka akan mewarisi masa depan negara dan bertanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman serta meneruskan usaha-usaha kemajuan dan pembangunan negara.

Katanya, graduan yang mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab amatlah penting ke arah melahirkan warga Malaysia yang berjiwa mulia.

 “Seorang graduan wajib bersikap jujur terhadap ilmu. Lebih tinggi nilai ihsan dalam diri seseorang, maka lebih tinggilah nilai integriti yang akan dizahirkan dalam sikap dan tindakan yang dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Sesi 3, Majlis Konvokesyen ke-40 UPM di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

Beliau turut mengingatkan para graduan agar sentiasa menghargai pengorbanan murni ibu bapa termasuk daripada segi masa, tenaga, sumber kewangan dan kesabaran.

“Inspirasi yang diberikan oleh merekalah yang telah memungkinkan para graduan mengharungi segala cabaran, tekanan dan halangan dalam pengajian dengan lebih baik, matang dan berjaya.

“Dorongan dari keluarga juga merupakan faktor penting dalam melahirkan graduan yang cemerlang,” katanya.

Mendepani cabaran alam kerjaya pula, beliau berkata, graduan akan berdepan persaingan mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan dan kesukaran seandainya kurang menguasai pelbagai kemahiran yang perlu ketika berada di universiti.

Katanya, memiliki ijazah adalah pra-syarat untuk mendapat pekerjaan tetapi ia bukan satu jaminan bahawa bakal graduan itu akan terus memperoleh pekerjaan.

 

“Para graduan sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan, selain mempersiapkan diri seawal mungkin dengan kemahiran agar dapat berdepan dengan pelbagai cabaran dalam persaingan mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, bakal graduan perlu menitik beratkan beberapa kemahiran yang dinilai oleh majikan yang ingin mengambil mereka bekerja seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kepemimpinan serta kemahiran pengurusan.

Katanya, kemahiran itu harus dikuasai dengan baik agar dapat berdepan dengan cabaran dalam mencari pekerjaan. – UPM

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEXWAg~