| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Hutan Simpan Ayer Hitam disasar jadi pusat pendidikan perhutanan antarabangsa

Oleh Azman Zakaria



PUCHONG, 11 April  (UPM) – Mungkin ramai tidak menyedari di celah-celah kepesatan pembangunan Lembah Klang, tersimpan ‘khazanah’ yang amat bernilai,  berupa Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong. 

Kini, Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Perhutanan menyasarkan untuk memasyhurkan hutan ini yang mempunyai potensi besar dengan menjadikannya sebagai model hutan pendidikan dan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Dekan Fakulti Perhutanan UPM, Prof. Dr Mohamed Zakaria Hussin berkata,  UPM mahu menjadikan hutan ini sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan yang terkenal di seluruh dunia.



“Pada peringkat awalnya kita mahu melaksanakannya di peringkat Malaysia dan Asia Pasifik terlebih dahulu, sebelum ke peringkat Asia dan seterusnya.  Ketika ini kita berusaha mengorak langkah menjadikan SISFEC sebagai pusat pendidikan perhutanan tropika terunggul di rantau Asia Pasifik.

“Kita sedang lakukan pelbagai inisiatif dan berusaha menarik penyelidik luar negara ke sini dan menulis hasil penyelidikan mereka,” katanya dalam temu bual.

Hutan simpan dengan keluasan asal 4,270.7 hektar ini diwartakan sebagai hutan simpan tertutup pada tahun 1906 tetapi keluasannya menurun kepada 1,176.1 hektar pada masa ini akibat kepesatan pembangunan dan perindustrian.



Bermula pada tahun 1996 pula, melalui satu perjanjian, kerajaan Selangor memberikan kebenaran kepada UPM mengurus dan menjalankan aktiviti berunsurkan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan perhutanan, selama 99 tahun sehingga 2095.

Sejajar dengan itu, UPM membangunkan Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) di situ bagi tujuan berkenaan kepada pelajar dan kakitangan UPM. SISFEC dirasmikan Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor UPM  pada tahun2012.

UPM menerima peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) bagi membina kompleks utama SISFEC yang merangkumi empat buah blok bangunan iaitu Blok Pentadbiran,  Dewan Kuliah dan Makmal bagi kegunaan aktiviti pengajaran, penyelidikan dan latihan kepada mahasiswa, staf dan penyelidik UPM.   

Terdapat juga sirkit rempuh halangan serta tapak semaian pokok hutan bagi menyokong aktiviti pendidikan khususnya pelajar Fakulti Perhutanan.




Hutan ini didiami 430 spesies tumbuhan bunga, 33 spesies paku pakis, 127 spesies balak dan 99 spesies herba. Di hutan ini turut terdapat fauna antaranya lima daripada 10 spesies mamalia besar di Semenanjung Malaysia, 208 spesies burung termasuk 35 spesies yang terancam dan 30 spesies berhijrah, 14 spesies mamalia kecil termasuk kongkang, 13 spesies kelawar,18 spesies katak, dua spesies reptilia dan 10 spesies ikan.

Kepelbagaian spesies ini menjadi daya penarik dalam kalangan penyelidik melakukan kajian saintifik terhadap hutan simpan itu menerusi kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu.

Prof. Dr Mohamed Zakaria berkata SISFEC bertindak sebagai kelas dan makmal terbuka Fakulti Perhutanan, digunakan juga untuk penyelidikan staf akademik serta aktiviti pengembangan melalui program mengenaialamsekitarbagipelajarsekolahdankomunitisekitarLembahKlang.



Katanya, pada masa ini lebih 100 penyelidikan sedang dijalankan, manakala purata 4,000 orang pengunjung melawat setiap tahun antaranya pelajar yang melakukan amali, lawatan bersifat pendidikan daripada institusi pengajian tinggi dan program kesedaran perhutanan bersama komuniti yang turut dijalankan dengan badan-badan kerajaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Hutan Simpan Ayer Hitam ini juga unik kerana kedudukannya yang dikelilingi bandar-bandar besar Petaling Jaya, Cyberjaya, Kuala Lumpur serta Shah Alam, dan satu-satunya hutan pamah dipterokarp yang masih wujud  dalam keadaan sempurna di kawasan Lembah Klang.

Ketua, Seksyen Hutan dan Ladang, Fakulti Perhutanan UPM, Mohd Farhan Shahrin pula berkata, justeru itu ia bertindak sebagai ‘carbon sequestration’ iaitu penyerap karbon dan gas beracun sambil membekalkan oksigen kepada penduduk, selain juga sebagai punca air dengan kualiti air Sungai Rasau sejauh kira-kira 2 kilometer bermula daripada puncanya adalah air Kelas 1 dan sangat jernih.



Begitu pun dalam usaha memulihara hutan ini secara mapan, Prof. Dr Mohamed Zakaria mengakui pihaknya berdepan dengan beberapa kes dan ia membimbangkan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan peranan dan fungsi hutan ini yang sudah dikelaskan sebagai hutan pelajaran dan penyelidikan.

Sehubungan itu, katanya, UPM sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan dan polis dalam memantau dan mengambil tindakan.

“Kami mahu menjadikan hutan ini serta satu lagi di Pulau Banding, Grik, Perak yang berkeluasan 3.337 hektar sebagai stesen penyelidikan dan pendidikan antarabangsa,” katanya. - UPM   


SXDdIAM~