| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Inovasi Putra Blok bolehkan rumah dibina lebih cepat, murah

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Saleha Haron


Prof Dato’ Ir. Abang Abdullah (tengah) menunjukkan demonstrasi menggunakan model Putra Blok.


SERDANG, 26 Sept - Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan inovasi yang membolehkan binaan tidak memerlukan kepada rangka struktur atau tiang dan rasuk, yang diberi nama Putra Blok.

 Ia sebaliknya dibina terus menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) ciptaan UPM.

 Melalui inovasi Putra Blok, iaitu sistem Binaan Blok Berongga Kait Panca Tanggung Beban, pembinaan rumah menjadi lebih mudah dan kos efektif.

 Ia dibangunkan oleh kumpulan penyelidik Pusat Penyelidikan Perumahan (HRC), Fakulti Kejuruteraan UPM diketuai Prof Dato’ Ir. Abang Abdullah Abang Ali.

 Putra Blok adalah IBS Malaysia pertama dengan Koordinasi Modular (MC) untuk memudahkan kerja reka bentuk dan binaan yang terdiri daripada tiga jenis blok iaitu stretcher, corner dan half yang mempunyai ciri-ciri tersendiri daripada segi geometri dan fungsi dalam sistem dinding.

 Prof Dato’ Ir. Abang Abdullah berkata Putra Blok berasaskan konsep permainan berbentuk pembinaan struktur “lego” dan dilengkapi sistem kait panca (interlocking) yang membolehkan blok berkenaan dipasang tanpa lapisan lepa (mortarless).

“Setiap blok mempunyai kekunci tersendiri yang terdapat di dalam ruang batu blok itu bagi memastikan cantuman blok lebih kuat dan kukuh bagi menahan beban bangunan,” katanya pada pada sidang media selepas majlis pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) antara UPM dan syarikat pengeluaran bahan binaan tempatan, Triple A Engineering Sdn Bhd bagi mengkomersilkan inovasi itu melalui kaedah pelesenan paten, di sini.


Prof. Datin Paduka Dr.Aini (dua kanan) bertukar dokumen MoA dengan Azhar Azwari (kiri) sambil disaksikan Prof Dato’ Ir. Abang Abdullah (dua kiri).


Pada majlis itu UPM diwakili Naib Canselor, Prof. Datin Paduka Dr.Aini Ideris manakala Triple A Engineering Sdn Bhd oleh Pengarah Urusan, Azhar Azwari Annuar.

Prof Dato’ Ir. Abang Abdullah berkata inovasi itu menjadikan proses pembinaan menjadi lebih mudah, cepat dan dengan kualiti yang tinggi tanpa memerlukan tenaga buruh yang ramai serta bekemahiran tinggi.

“Dengan menggunakan inovasi ini, kos pembinaan rumah dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus,” katanya sambil menjelaskan kos pembinaan satu unit rumah adalah kira-kira RM35,000 mengikut rekabentuk dan keluasan.

Menurutnya, Putra Blok telah diguna pakai untuk membina sebahagian unit rumah mangsa banjir di Sungai Durian, Kelantan serta sebuah pusat komuniti untuk penempatan warga emas , ibu tunggal dan golongan miskin di Kelantan.

Prof. Datin Paduka Dr.Aini pula berharap lebih banyak syarikat tempatan dan antarabangsa serta agensi kerajaan akan bekerjasama dengan UPM dalam mengkomersilkan hasil produk penyelidikan UPM.

“UPM memiliki lebih 1,900 harta intelek yang berpotensi tinggi untuk diterokai oleh pihak industri. Sejak 1990, UPM berjaya memindahkan 115 hasil inovasi UPM kepada industri melalui kaedah pelesenan dan penjualan harta intelek dengan nilai jualan kasar produk melebihi RM52 juta,” katanya. – UPM


SXDdUAb~