| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

INTROP tingkat usaha untuk capai lebih banyak kejayaan

Oleh Azman Zakaria
Foto Noor Azreen Awang



SERDANG, 15 Dis - Ketua Pengarah, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dato’ Dr. Jalaluddin Harun mahu Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) Universiti Putra Malaysia terus mempertingkatkan usaha dengan mensasarkan untuk mencapai lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Mantan Pengarah INTROP berkata, institut itu yang mencapai usia 10 tahun penubuhannya tahun ini, telah meraih banyak kejayaan terutamanya di peringkat nasional sebagai pusat rujukan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pengurusan fiber semulajadi dan biokomposit.

Katanya, cabaran sekarang adalah untuk INTROP meneroka dan mensasarkan pula ke arah lebih banyak kejayaan diperingkat antarabangsa.   

“Pelbagai pengiktirafan yang diterima oleh INTROP hari ini bukan datang bergolek, tetapi melalui usaha yang bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka Inovasi (IOD) UPM 2016 yang dianjurkan oleh INTROP  di sini. Turut hadir Pengarah INTROP,Prof. Dr. Paridah Md Tahir.

IOD 2016 itu yang bertemakan “Sustaining Green Growth 2.0” adalah kali kedua diadakan oleh INTROP.  Sebanyak  21 produk dipamerkan yang terdiri daripada lapan produk berpotensi untuk dikomersilkan , 12 produk membangun (emerging) dan satu produk komuniti.

Prof. Dr. Paridah dalam ucapannya pula berkata INTROP akan terus memberi fokus kepada penyelidikan dalam bidang tujahannya selaras dengan peranan dan tanggungjawab memartabatkan pembangunan produk kayu dan gentian asli.

Katanya, semua pihak termasuk pensyarah dan penyelidik sememangnya memberi komitmen tinggi dalam penyelidikan yang dijalankan.

Pada majlis itu, Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara INTROP dan Persatuan Industri Perabot Kuala Lumpur dan Selangor (KLSFIA), yang bertujuan antara lain untuk membangun dan mengadakan kerjasama penyelidikan dalam bidang yang berkaitan, serta menyediakan pertukaran/penempatan bagi kakitangan serta pelajar di UPM dan ahli KLSFIA.

INTROP diwakili Prof. Dr. Paridah, manakala  KLSFIA oleh Presidennya, Dato’ Dr. Eric Lee pada majlis menandatangani MoU itu. – UPM


SXESOAX~