| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Iqbal Saripan juara National Young Scientist Award 2013

Oleh Hafliza Hussin


Dr. Iqbal berjaya membawa pulang RM20,000, sijil dan plak.


KUALA LUMPUR, 14 November 2013 – Prof. Madya Dr. Iqbal Saripan dinobatkan sebagai juara kategori National Young Scientist Award 2013 (Anugerah Saintis Muda Negara) mengalahkan dua lagi finalis yang masing-masing dari Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaya pada malam penganugerahan Gala Night World Innovation Forum Kuala Lumpur (WIF-KL) 2013.

Dr. Iqbal Saripan, 33, yang merupakan Ketua Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan menumpukan penyelidikan dalam bidang pemprosesan isyarat/imej digital, pengimejan perubatan, kejuruteraan bioperubatan dan pemprosesan audio dan video.

Beliau membawa pulang hadiah yang merupakan RM20, 000, trofi dan juga sijil pada majlis anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).


Dr. Iqbal bersama YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (kiri) dan YBhg. Dato' Dr. Rosli Mohamed, Ketua setiausaha MOSTI (kanan) semasa penyampaian anugerah.


Iqbal  berjaya menemui kaedah mengesan sel kanser peringkat awal dengan menggunakan pengimejan nuklear yang dikenali sebagai Pengkolimat Jaringan Wayar. Inovasinya iaitu Early Breast Cancer Detection Using Wire Mesh Collimator Gamma Camera (Nuclear Imaging) itu yang boleh mengesan saiz kanser sekecil satu millimeter dan pengkolimat yang telah diubah suai tidak memberi kesan radiasi kepada pesakit.

National Young Scientist Award menghargai usaha dan pencapaian signifikan para saintis muda dalam R&D sains, teknologi dan inovasi. Anugerah itu bertujuan untuk memberi galakan dan insentif kepada para saintis muda tempatan untuk berusaha menjadi cemerlang dan menyumbang kepada bidang sains dan teknologi.

Antara anugerah lain yang turut disampaikan pada malam tersebut adalah SME’s Innovate Award, AIM Innovation Business Award, National Technologist dan National Innovation Awards. Prof. Madya Dr. Ahmad Husni Mohd Hanif dari Fakulti Pertanian adalah antara 10 finalis bagi National Innovation Awards bagi kategori produk.


SXDdFAe~