Kementerian Pengajian Tinggi Anugerah Status Autonomi Pada Putra Business School | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Kementerian Pengajian Tinggi Anugerah Status Autonomi pada Putra Business School

Kementerian Pengajian Tinggi Anugerah Status Autonomi pada Putra Business School


Kuala Lumpur, 15 Okt– Kementerian Pengajian Tinggi telah menyatakan kelulusan kepada Putra Business School UPM (sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan) untuk menjadi sebuah sekolah perniagaan berlesen dan mempunyai autonomi penuh dalam mengurus operasi harian.

Pengumuman ini dibuat oleh Y.B. Dato' Seri Mohamed Khalid Nordin semasa sidang media dan penyampaian sijil kepada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan Putra Business School (PBS) setelah berjaya mendapat akreditasi dari AACSB International. PBS kini akan diurus oleh Yayasan Putra Business School, dan beroperasi, buat pertama kalinya dalam sejarah UPM, sebagai sebuah entiti perniagaan di dalam sebuah universiti awam.

Apabila ditanya oleh para pemberita apakah perbezaan di antara pentadbiran baharu dan yang terdahulu, Dato’ Seri menjelaskan, “Menjadi autonomi adalah asas kecemerlangan. Kementerian menganugerahkan status autonomi kepada institusi awam bagi memastikan universiti tersebut turut bersedia untuk melakukan perkara yang sama kepada institusi di bawahnya, contohnya Pusat Kecemerlangan, Sekolah Perniagaan, dan sebagainya.”

Pada nada yang sama, Naib Canselor UPM, Dato' Ir Dr. Radin Umar Radin Sohadi turut menambah, “Apabila PBS telah diberi autonomi, apa yang penting ialah PBS diberi kebebasan untuk memilih tenaga pengajar mereka sendiri. PBS menggunakan model sekolah perniagaan ‘yang berniaga’, bukannya model sekolah perniagaan akademik. Amalan semasa di institusi awam ialah pensyarah perlu memiliki PhD dan disokong oleh bilangan penerbitan di jurnal, dsbnya. Di PBS, kami memerlukan tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman dan pendedahan bekerja di industry untuk dibawa ke bilik kuliah.”

Apabila diminta mengulas lanjut berkenaan akreditasi, Dato’ Seri Khalid menerangkan, “Akreditasi bukan satu penyetaraan. Penyetaraan dilakukan oleh syarikat-syarikat manakala akreditasi dijalankan oleh badan professional yang pakar dalam sesuatu bidang,” YB Menteri memaklumkan kepada pemberita.

“Terdapat 13 buah sekolah perniagaan di Malaysia. Memandangkan UPM telah diakreditasi, ia sewajarnya menjadi contoh dan pendorong sekolah perniagaan lain untuk berbuat perkara yang sama. Bagi pihak Kementerian, saya mengucapkan tahniah kepada UPM kerana telah mengorak langkah dan membuktikan bahawa sekolah perniagaan kita adalah setaraf  dengan sekolah perniagaan terkemuka seperti lain seperti London Business School, INSEAD, University of Pennsylvania, Universiti Harvard, Universiti Yale, Universiti Columbia, EDHEC Business School, Warwick Business School dan Universiti Toronto,” beliau menambah.

“Apa yang signifikan ialah bukan sahaja PBS yang mendapat akreditasi, fakulti juga turut diberi penghargaan yang sama,” beliau menambah dengan merujuk kepada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

AACSB International atau Association to Advance Collegiate Schools of Business yang ditubuhkan pada 1916 adalah badan akreditasi antarabangsa yang tertua untuk sekolah perniagaan di universiti yang menawarkan program sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah dalam bidang perniagaan dan perakaunan.

En. John J. Fernandes, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AACSB International dalam ucapannya berkata, “Apabila sekolah perniagaan terkemuka dunia mengiktiraf UPM sebagai salah satu yang terbaik, antara yang paling maju dalam pendidikan pengurusan, secara tersendirinya UPM dipandang tinggi bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.”

“Perkataan ‘akreditasi’ adalah dari perkataan Latin yang membawa maksud ‘percaya’. Ini bermaksud AACSB International percaya UPM dapat mencapai misinya dan melakukan apa yan g sepatutnya dilakukan kepada komuniti dan pemegang taruh,” beliau menjelaskan.

Beliau mengucapka tahniah kepada UPM kerana menjadi sekolah perniagaan pertama di Malaysia yang mendapat akreditasi ini dan percaya UPM mampu membimbing dan menjadi contoh kepada sekolah perniagaan lain di Malaysia yang ingin mendapatkan akreditasi AACSB.

Universiti Putra Malaysia merupakan universiti ke-6 di Asia Tenggara yang mendapat Akreditasi AACSB. Negara lain ialah Singapura (3), Filipina (1) dan Thailand (1). Proses akreditasi melibatkan kajian dalaman yang ketat, penilaian, pelarasan dan dan mengambil tempoh beberapa tahun untuk memenuhi 21 standard yang ditetapkan oleh AACSB International. Semua sekolah perniagaan yang diiktiraf mesti melalui proses Peer Review setiap lima tahun untuk mengekalkan akreditasi mereka.

YBhg. Datuk Ab. Rahim Md. Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Rujhan Mustafa, Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi; YBhg. Prof. Dr. Arfah Salleh, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Putra Business School; YBhg. Prof. Dr. Mohd. Shahwahid Othman, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan; dan Dr. Eileen Peacock, Timbalan Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Asia AACSB International turut hadir di siding akhbar tersebut bersama pegawai-pegawai lain.


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEUAAl~