| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

KSM sumbang RM50 ribu kepada Tabung Penyelidikan Tamil UPM

PUTRAJAYA, 8 Feb – Kementerian Sumber Manusia  menyumbangkan RM50 ribu untuk Tabung Penyelidikan Bahasa Tamil, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk meluaskan penyelidikan dan penerbitan dalam bahasa itu.

 Sumbangan diserah oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam kepada Dekan FBMK, UPM Prof. Madya Dr. Mua’ti @ Zamri Ahmad baru-baru ini.

 Datuk Dr. S. Subramaniam berkata peluang yang disediakan UPM untuk penyelidikan Bahasa Tamil bukan khusus kepada masyarakat India malah masyarakat lain perlu digalakkan mempelajari bahasa itu.

 “Dalam era globalisasi kini, pelajar perlu meningkatkan ilmu kemahiran terutamanya menguasai bahasa kedua untuk meningkat kualiti diri dan pasaran kerja negara.

“Kita bukan sahaja perlukan tenaga kerja yang fasih dalam Bahasa Melayu, malah memerlukan mereka yang berkebolehan dalam menguasai bahasa asing,” katanya. Sementara itu, Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Mua’ti @ Zamri Ahmad berkata beliau berharap dana itu akan dimanfaatkan oleh pelajar sebagai bantuan bagi penyelidikan, penerbitan serta pengajian siswazah bahasa Tamil di UPM.

Katanya FBMK kini sedang berusaha mendapatkan dana penyelidikan itu dari luar negara antaranya di Mauritius, Afrika Selatan, India dan Amerika Syarikat.

Berita ini disediakan oleh Noor Eszereen Juferi, 03-89468985 (MarComm)|Foto oleh Mohd Azreen Awang, 03-8946 6199 (MarComm)



SXDcUAv~