| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Mahasiswa mesti ambil berat soal perpaduan, kata TPM Tan Sri Muhyiddin

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail 



SERDANG, 2 Mac (UPM) – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin  mahu pelajar institusi pengajian tinggi supaya sentiasa menitikberatkan perpaduan di sebalik penumpuan mereka di dalam menimba ilmu pengetahuan.

Sehubungan itu katanya, penganjuran program yang membabitkan pelbagai kaum anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah penting ke arah membantu memelihara dan memperkukuhkan perpaduan nasional.

“Untuk memastikan Malaysia mencapai kecemerlangan, keadaan mesti aman dan tidak timbul konflik kaum dan agama. Jika tidak dipelihara, program-program yang sudah disusun akan terjejas dan tidak akan membawa apa-apa kebaikan.



“Sudah sampai masanya peranan MPP dikedepankan… melalui interaksi seperti pengwujudan Parlimen Mahasiswa yang boleh menjadi platform untuk menyampaikan pandangan supaya apa yang tercetus daripada anak muda dapat disampaikan dan diambil perhatian oleh kerajaan,” katanya pada majlis ramah mesra bersama pemimpin mahasiswa di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, yang dihadiri kira-kira 1,500 pemimpin mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; dua Timbalan Menteri Pendidikan, Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad; Naib Canselor UPM , Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan; Pengerusi MPP Kebangsaan, Muhamad Anas Misbahudin; dan Yang Dipertua MPP UPM, Muhammad Hanif Ramlan.  

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan tegas dalam menangani perkara yang boleh membangkitkan isu perkauman, ekstremisme dan jenayah yang sudah menjadi ancaman yang nyata.

Bagaimanapun katanya, ia tidak bermakna kerajaan menghalang kebebasan mahasiswa menyuarakan pendapat. “Tidak halang bincang… tetapi berkaitan hak istimewa orang Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan serta soal hak bangsa lain tidak boleh dipertikaikan.”     



Selain menuntut ilmu, katanya, pelajar institusi pengajian tinggi juga perlu memberi penekanan kepada nilai, moral dan pekerti agar wujud keseimbangan sahsiah diri.

Beliau juga berkata, peranan MPP adalah penting untuk menentukan mahasiswa tahu dan lebih dekat dengan perkembangan yang berhubung kait dengan pendidikan dan dasar negara.

“Yang menjadi asas ialah melahirkan generasi yang terdidik dengan ilmu pengetahuan yang cukup, akhlak mulia dan dapat memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan negara dalam semua sektor,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan yang besar telah dibuat dalam bidang pendidikan membabitkan sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi yang bertujuan supaya negara mempunyai modal insan yang lengkap.

“Kita mahu melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dan menguasai semua bidang. Jika kita hendak maju, kita mesti ke hadapan daripada mereka (negara lain). Sudah sampai masanya kita menjadi pelopor dan peneraju idea-idea baru,” katanya.



Dalam pada itu Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan Muhammad Anas yang berucap sebelum itu, yang meminta supaya skop penggunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) tidak dibataskan kepada pembelian buku sahaja tetapi turut merangkum pembelian bahan-bahan pembelajaran lain.

Pada majlis itu Tan Sri Muhyiddin menyampaikan replika cek baucar BB1M 2015 bernilai RM325 juta untuk 1.3 juta pelajar institusi pengajian tinggi seluruh negara kepada Muhammad Anas yang mewakili mahasiswa seluruh negara. - UPM            


SXDdTAh~