| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Membeli sambil berwakaf untuk kesejahteraan pelajar

Oleh Azman Zakaria


SERDANG, 27 Okt – Pengunjung bukan sahaja boleh mendapatkan pelbagai barangan malah secara langsung turut berpeluang menyumbang kepada tabung Dana Wakaf Ilmu Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila membeli produk dan barangan menerusi projek Jualan Amal Wakaf.

Barangan berupa cenderahati, bahan bacaan, produk kesihatan serta makanan dan minuman dijual menerusi projek Jualan Amal Wakaf itu sempena Ekspo Pertanian dan Majlis Konvokesyen UPM ke-39, yang  bermula Sabtu ini hingga 5 November.

Antaranya ialah jambangan orkid, orkid berpasu, Al-Quran Waqf Ibtida berserta panduan tajwid, buku panduan solat waktu kritikal, buku memoir bertajuk aku dan amanah-MU oleh bekas Naib Canselor UPM, Allahyarham Dato’ Ir. Dr Radin Umar Radin Sohadi, bunjut herba, sabun mandian herba,  jus jambu batu, jus mangga serta  tanah kompos dan tanah campuran.



Pegawai Bahagian zakat, wakaf dan endowmen, pejabat Bursar UPM, Nuruliman Ibrahim berkata, Jualan Amal Wakaf kali ini merupakan tahun kedua ia dilaksanakan yang mensasarkan untuk mengumpul RM100,000 selepas pertama kali dijalankan tahun lalu yang mencapai hasil jualan melebihi RM40,000.

Beliau berkata, 30 peratus daripada hasil jualan amal wakaf ini akan disumbangkan kepada tabung Dana Wakaf Ilmu UPM dalam memenuhi pelbagai keperluan pelajar, termasuk kewangan, kebajikan serta kesejahteraan mereka.



Katanya, yang menarik dalam projek Jualan Amal Wakaf kali ini ialah ia digerakkan sepenuhnya oleh kumpulan Rakan Bakti Putra melibatkan kira-kira 45 orang pelajar asnaf di bawah penyeliaan pegawai seksyen pengurusan zakat dan pembangunan asnaf, pejabat Bursar UPM.

Rakan Bakti Putra dilancarkan oleh Naib Canselor UPM, Prof Dato’ Dr Mohd Fauzi Ramlan, pada 15 Oktober lalu.

 


SXDdCAa~