Misi Program Sukarelawan Siswa UPM Ke Vietnam | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Misi program Sukarelawan Siswa UPM ke Vietnam

Misi program Sukarelawan Siswa UPM ke Vietnam


Oleh: Rizal Razak

TAY NINH PROVINCE (Vietnam) – Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melaksanakan Misi Sukarelawan Siswa UPM kolaborasi bersama Kolej Kelima UPM dan Education Malaysia Ho Chi Minh City dengan kerjasama University of Social Sciences & Humanities Ho Chi Minh dan Representative Islamic Community Vietnam di Tay Ninh Province, Vietnam baru-baru ini.

Pengetua Kolej Kelima, Dr. Amini Amir Abdullah berkata program ‘We Volunteer Mobility UPM-Vietnam’ bertujuan memberi pendedahan secara komprehensif kepada pelajar UPM yang terpilih untuk mendapatkan pengalaman menjalankan program sukarelawan berdasarkan “right volunteer for the right job” iaitu menyumbangkan kemahiran yang mereka pelajari di institusi pengajian tinggi  kepada komuniti setempat di luar negara.

“Ini selaras dengan hasrat UPM untuk melahirkan Ikon Sukarelawan Mahasiswa UPM  di pentas global serta memberi impak positif kepada pelajar UPM bukan sahaja dalam menimba ilmu malah membina sahsiah pelajar dalam menangani isu berkaitan kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata, pelajar UPM turut membantu dalam mempromosikan serta memberi galakan kepada anak-anak serta generasi muda komuniti tersebut untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Penglibatan pelajar dalam program kesukarelawan akan menjadi nilai tambah kepada para pelajar UPM dalam peluang kerjaya. Pada masa ini majikan meneliti graduan yang mempunyai soft skill. Pelajar harus merebut peluang seperti ini untuk dimanfaatkan,” katanya.



Pengarah program ‘We Volunteer Mobility UPM-Vietnam’, Zalyana Mat Zin pula berkata sepanjang berada di Vietnam, pelajar berpeluang menjiwai kehidupan dan memahami cara hidup komuniti sambil membantu dalam mendidik anak-anak kampung dengan pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknik ‘fun learning’ yang interaktif, dengan memberi penekanan kepada subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Arab.

“Pelajar UPM berpeluang mengadakan demonstrasi antaranya cara memberus gigi dengan betul, penjagaan diri, kesihatan dan kebersihan peribadi kepada pelajar di sekolah, kanak-kanak, remaja serta umumnya anggota masyarakat tempatan.

“Menariknya sepanjang misi sukarelawan ini, pelajar memberi khidmat bakti kepada komuniti melalui kerja sukarela (volunteer work) seperti pembinaan pagar sekolah di samping aktiviti immersion bersama penduduk kampung seperti sukaneka, futsal, pertandingan azan, memasak masakan Vietnam serta kenduri kendera,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata misi itu penting untuk menanam semangat berbakti pelajar UPM kepada masyarakat selaras dengan lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi 2015-2025 (PPPM-PT) untuk melahirkan graduan holistik dan seimbang melalui penglibatan pelajar dalam kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan, kemahiran dan kepimpinan. - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEYTAZ~