| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Modul Pesyuma akan diperkenal, mantapkan pembangunan insaniah pelajar

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 18 Ogos - Modul Pembangunan Pelajar Syumul Universiti Putra Malaysia atau Modul Pesyuma UPM bakal diperkenalkan untuk pelajar tahun dua dan tahun tiga ke arah membentuk kemantapan diri secara holistik.

Program itu antara lain akan menggarapkan pelajar dalam aspek kerohanian, keterampilan diri, kebolehan berpidato, kemahiran berfikir, menguasai dengan baik teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta berpengetahuan dalam bidang keusahawanan.

Pengarah, Pusat Kokorikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof. Madya Dr Abdul  Rasid Jamian berkata, pelajar akan perlu mengikuti Modul Pesyuma UPM untuk sejumlah 72 jam.



“Modul Pesyuma UPM kini sedang diperhalusi dan dijangka akan diluluskan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam temu bual.

Beliau berkata topik yang dicadang dimasukkan dalam Modul Pesyuma UPM itu adalah Kompetensi Dalam Penghujahan, Citra Siswa, Kompetensi Berbahasa, Dinamika ICT, Pemikiran Unggul serta Patriotik, Jati Diri dan Kerohanian.

Katanya, program Modul Pesyuma UPM itu adalah tambahan kepada dua program yang sedang dilaksanakan iaitu Program Permulaan Graduan atau Starting School dan Program Ketrampilan Graduan atau Finishing School.

Beliau berkata Program Permulaan Graduan yang dimulakan pada 2007 diwajibkan kepada pelajar baharu untuk jumlah tujuh jam. Ia antara lain membabitkan hal berkaitan suai diri, seronoknya belajar, etika dan penampilan pelajar, English Fear No More serta graduan unggul.



Manakala Program Ketrampilan Graduan yang dimulakan pada 2006 dikhususkan kepada pelajar tahun akhir adalah menjurus kepada persediaan awal pelajar sebelum ke dunia pekerjaan seperti pendedahan kepadap enulisan resume.

Bagi pelajar baharu antarabangsa pula, mereka digalakkan mengikuti “International Students Assimilation Programme” yang akan mendedahkan mereka kepada budaya hidup masyarakat tempatan dan perkataan-perkataan asas Bahasa Melayu yang dirasakan penting untuk mereka ketahui dan tuturkan.

Dr Abdul Rasid juga berkata Pusat Kokorikulum dan Pembangunan Pelajar juga melaksanakan aktiviti membabitkan masyarakat seperti program University Community Engagement (UCE).

Katanya, pelajar pergi ke kawasan luar bandar dan kampung untuk melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk berkaitan pendidikan, alam sekitar,keusahawanan dan pertanian seperti Pertanian Bandaran yang dilaksanakan bersama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).Kira-kira 3,000 pelajar mengikuti program UCE setiap tahun.

Antara aktiviti yang dilakukan baru-baru ini ialah di Kampung Bukit Lintang, Kota Tinggi, Johor yang membabitkan kira-kira  60 pelajar yang melakukan kerja gotong-royong membersihkan kawasan kampung serta gerak usahawan iaitu pelajar dibekalkan dengan produk jualan hasil kampung seperti kerepek ubi dan kuih siput untuk dijual di sekitar pekan Kota Tinggi.

Program siswa@kampung pula dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membabitkan lima kluster termasuk pendidikan, alams ekitar, keusahawanan dan orang tua.

Katanya, program itu yang dimulakan pada 2013 biasanya diadakan selama tiga hari dua malam di kampung-kampung yang terbabit. - UPM

 


SXESSAF~