| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Muzium warisan melayu pertama dalam negara dilancarkan

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Foto oleh Noor Azreen Awang & Saleha Haron


SERDANG, 8 April - Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang pertama seumpamanya dalam negara dilancarkan hari ini di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di sini.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata walaupun terdapat muzium lain di Malaysia yang mempamerkan warisan Melayu, muzium di UPM itu bukan sahaja pada nama warisan Melayu tetapi keunikannya berfokus kepada empat koleksi kelestarian jati diri bangsa Melayu iaitu manuskrip Melayu dan keagamaan, koleksi tekstil Melayu bermutu tinggi, koleksi busana Melayu dan koleksi persenjataan Melayu yang ampuh.

“Terdapat satu-satunya manuskrip yang tersimpan di muzium ini membicarakan tentang keris khususnya keris Taming Sari. Selain daripada pameran dalaman, muzium ini juga mempunyai outdoor museum iaitu tiga buah rumah tradisional Melayu berusia lebih seratus tahun dari Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.


“Oleh kerana Malay Heritage Museum hanya terdapat di Singapura, maka negara memerlukan sebuah institusi untuk melagang usaha penyelidikan, penerbitan, pendidikan, pengajaran dan pembelajaran, serta pemaparan artifak yang berkaitan budaya Melayu,” katanya semasa melancarkan muzium itu. Turut hadir ialah Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Prof. Madya Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dan Pengarah Muzium,Dr. Muhammad Pauzi Abd Latiff.

Beliau berkata keistimewaan muzium itu seperti mempunyai manuskrip keagamaan kitab Al-Quran tulisan tangan dan kitab-kitab agama lain, manuskrip pelayaran tentang arah mata angin, kitab Thib atau perubatan dan manuskrip persenjataan seperti kitab tentang cara menyurat bilah mata pisau atau keris.

 Fauzi berkata terdapat juga manuskrip rumusan matematik yang dikarang oleh cendekiawan Melayu lebih dua ratus tahun dahulu. “Para pengunjung awam boleh melihat sendiri betapa orang Melayu telah mempunyai sistem nota kaki atau footnotes lebih 300 tahun dahulu. Malah lebih 200 tahun dahulu kita telah mempunyai sistem melakarkan idea dalam bentuk visual, seperti yang disebut peta minda atau mind mapping yang dicipta oleh Tony Buzan,” katanya.



Beliau berharap Muzium Warisan Melayu UPM akan menjadi tempat pelajar, penyelidik dan masyarakat dalam dan luar negara mendalami budaya dan tamadun Melayu.

”Sebagai sebuah muzium di sebuah universiti penyelidikan, muzium ini akan menjadi tempat simbiosis kepakaran dari segenap bidang seperti bahasa, kesusasteraan, komunikasi, rekabentuk, sains makanan, pertanian, perhutanan, perubatan, sains bahan, metallurgy, sains tekstil, sosiologi, anthropologi, psikologi dan sebagainya untuk menelusuri kearifan silam bangsa Melayu dan merungkai segala rahsia keintelektualannya,” katanya.

Koleksi tekstil Melayu bermutu tinggi

Kain yang ditenun dan dicorakkan oleh pereka Melayu silam seperti kain limar, kain pelangi, kain cindai, kain kelingkan mengadunkan kepandaian seni dan sains dalam penghasilan tekstil. Kain cindai ditenun dari serat herba sehingga boleh digunakan sebagai penawar bisa dan antiseptik. Tidak hairanlah kenapa Jebat masih boleh terus hidup lima hari selepas ditikam Hang Tuah, setelah beliau membalut luka tikaman dengan kain cindai.

Koleksi busana Melayu

Busana terdiri daripada pakaian lelaki, wanita, dan kanak-kanak seperti baju, seluar, samping, kain, tanjak, dan sebagainya. Turut disertakan dalam koleksi muzium ini ialah aksesori busana seperti pending, bengkung, tali pinggang, kerongsang, kalung, dan sebagainya. Selain mamaparkan kehalusan seni Melayu, busana Melayu membuktikan betapa orang Melayu silam mencipta fesyen pakaian mengikut fungsi dan kesesuaian keadaan. Busana Melayu: menutup aurat, melindung malu, menjaga maruah, menzahir ayu.

Koleksi persenjataan Melayu silam yang ampuh

Mempamerkan senjata unik Melayu seperti lela rentaka, tombak, lembing, parang, pedang, golok, keris, tumbuk lada, dan badik. Senjata Melayu khususnya keris bukan hanya dicipta untuk digunakan sebagai senjata penjaga maruah, tetapi juga sebagai hasil seni yang sangat luar biasa dan bermutu tinggi. Tidak hairanlah kenapa keris masih begitu dekat di hati orang Melayu, sejak 800 tahun silam sehinggalah ke hari ini.


Peralatan dalam isi rumah Melayu

Antara artifak yang dipamerkan ialah gobek api. Gobek api ialah alat kecil yang digunakan untuk menyalakan api, yang dihasilkan daripada daya cipta kepandaian orang Melayu silam. Ia menggunakan gabungan kepandaian fizik, kimia, dan biologi dan berfungsi pada asasnya berdasarkan konsep tekanan dan mampatan, serta geseran. Gobek api ini hanya didapati di alam Melayu khususnya di utara semenanjung dan digunakan dalam abad ke 17 dan 18. Orang Melayu telah menggunakan gobek api lebih kurang 100 tahun sebelum barat tahu mencipta macis atau gores api.  130 tahun kemudian barulah Ronson mencipta pemetik api atau lighter. Malangnya pada hari ini gobek api ini dipatenkan di bawah nama Fire Piston oleh sebuah syarikat di Amerika Syarikat.

Outdoor Museum

Di perkarangan muzium ini didirikan tiga buah rumah tradisional Melayu. Yang pertama ialah rumah Dato’ Raja Diwangsa, iaitu rumah dari Negeri Sembilan. Yang kedua rumah kutai dari negeri Perak dan yang ketiga, yang sedang didirikan ialah rumah bujang berselasar dari negeri Terengganu. Untuk makluman hadhirin sekalian, rumah Negeri Sembilan mewakili zon selatan, iaitu sebuah rumah di tanah pamah, rumah Perak mewakili zon utara, iaitu sebuah rumah di tepi sungai. Rumah Terengganu pula mewakili zon timur, iaitu sebuah rumah di tepi laut. Para pelajar, pengkaji dan pengunjung akan dapat melihat dengan jelas bagaimana senibina rumah Melayu tradisional dibina mengambilkira lokasi dan kawasan.

 



Bahagian luar muzium

Sebuah pondok mesin getah yang akan menunjukkan bagaimana getah, yang merupakan salah satu produk utama negara ditoreh, dan diproses menjadi getah keping. Proses ini akan mendedahkan kepada pelajar, pengkaji, dan pengunjung bagaimana pekebun kecil pada suatu waktu dahulu yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Melayu menjalankan aktiviti ekonomi harian.

SXETTAc~