| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Muzium Warisan UPM miliki lebih 30 koleksi keris untuk tatapan

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail


Dr Abdul Mua’ti menunjukkan antara koleksi keris yang dipamerkan di Muzium Warisan


SERDANG, 10 Februari (UPM) – “Malang jika generasi muda hari ini tidak mahu mengkaji untuk mengetahui besarnya signifikannya keris kepada pembentukan tamadun Melayu... dan apabila kita kenal keris, kita akan memahami dan mengetahui kebijaksanaan orang dahulu “.

Demikian kata Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad mengenai senjata orang Melayu ini yang digunakan sejak berzaman lagi yang juga lambang kebesaran raja serta kedaulatan orang Melayu.

Di Muzium Warisan UPM sahaja, terdapat lebih 30 keris serta pelbagai koleksi senjata lain yang digunakan masyarakat Melayu negara ini pada suatu ketika dahulu, yang dipamerkan untuk tatapan umum.



Antaranya Keris Tok Chu, Tajung, Coteng, Debek, Beko, Sepukal,  Alang atau keris kuasa dan keris selit.

Beliau berkata minat dan kecintaan kepada senjata ini perlu disemai kembali di kalangan generasi muda, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi agar ia tidak berkubur begitu sahaja dimamah usia, lebih-lebih lagi pada ketika pembuat keris atau ‘empu’ yang semakin kurang bilangannya hari ini.

Menurutnya, ‘empu’ iaitu mereka yang membuat keseluruhan keris, hanya terdapat beberapa orang sahaja sekarang ini di negara ini antaranya di Kelantan, Perlis, Perak, Melaka,  Pahang dan Pulau Pinang.

Manakala mereka yang pakar membuat bilah sahaja dipanggil ‘pandai besi’, pakar membuat sarung keris dipanggil ‘tukang sarung’ dan yang pakar membuat hulu sahaja dipanggil ‘tukang hulu’.

“Ada generasi muda yang takut keris kerana mempercayai ada ‘mahluk halus’ bersama keris itu sedangkan hakikatnya tidak ada… tak munasabah kita takut kepada keris.


Galeri keris di Muzium Warisan.


“Mahluk halus ada di mana-mana, kita tidak perlu takut kepadanya kerana ia juga mahluk Tuhan, malah manusia lebih baik ciptaannya daripada mahluk halus itu,” katanya dalam temu bual.

Malangnya beliau berkata, tidak ramai generasi muda yang mahu mendalami ‘rahsia keris’ dan cara ia dihasilkan.

Kecenderungan yang kurang di kalangan generasi muda untuk belajar membuat keris adalah kerana tempoh masa yang lama iaitu kira-kira satu bulan untuk menyiapkan sebilah keris, dan setiap satu pula berharga kira-kira RM1,000 selain ketiadaan pasaran tetap.

“Jadi, mereka merasakan pulangannya tidak berbaloi berbanding tempoh masa lama yang dihabiskan dalam membuat keris,” katanya sambil menambah kata bahawa tidak ramai yang mengumpul keris, kecuali kolektor yang pada kebiasaannya pula mencari keris yang ada nilai sejarah.

Dr. Abdul Mua’ti berkata keris sebenarnya menyimpan rahsia tersendiri kerana ia sebenarnya suatu identiti dan pengenalan diri buat pemakainya.

“Ia umpama kad pengenalan… daripada hulu, bilah, sampir serta sarungnya dan sehinggakan kepada cara ia diselitkan di pinggang, orang akan tahu daripada mana pemilik itu datang dan pangkatnya,” katanya.


Lok pada keris


Keris pembesar, hulunya pada kebiasaannya diperbuat daripada gading gajah, tanduk kerbau, sumbu badak, geraham gajah dan gigi ikan paus.

Pendekar pula katanya, pada kebiasaannya membawa keris yang lurus atau lok tiga, yang lebih senang digunakan untuk bertarung.

Beliau berkata ada sampir keris yang dibentuk menyerupai bentuk perahu untuk menggambarkan  masyarakat Melayu adalah pelaut.“Mereka mengabadikan laut pada sampir.”

Katanya, seni membuat keris begitu halus dan penuh dengan ketelitian kerana keseimbangan keris membolehkannya tegak berdiri, dan selesa atau sedap digunakan ketika bertarung kerana ada  ketikanya pertarungan memakan masa sehingga berjam-jam.

“Orang dahulu bertikam di tempat sempit seperti di bawah rumah, di dalam perahu dan di dalam atau di bawah istana.”

Katanya, pada keris ada bisa dan juga ada penawar. “Umpamanya hulu keris yang diperbuat daripada kayu penawar hitam boleh menjadi penawar bisa dan menghentikan darah akibat tikaman keris.”

Menurutnya keris secara umumnya dibahagikan kepada tiga jenis iaitu keris selit yang dipakai di pinggang, keris tarung yang digunakan ketika pertarungan dan keris kuasa atau keris hukum.

Lazimnya bilangan lok keris adalah ganjil yang pada falsafahnya menggambarkan ia tidak sempurna, kerana yang sempurna hanyalah Tuhan. Justeru jarang terdapat keris dengan bilangan lok yang genap. “Biasanya lok keris yang genap bilangannya adalah bilah keris terakhir dibuat oleh empu untuk menggambarkan ia tidak mahu lagi membuat keris dan lazimnya akan ‘memasukkan segala kepandaiannya’ pada bilah keris terakhir itu.”

Dr. Abdul Mua’ti berkata minatnya terhadap keris timbul ketika membantu anaknya membuat tugasan sekolah berkaitan keris kira-kira tiga setengah tahun lalu, dan sejak itu beliau mencari maklumat dan akhirnya berjaya menghasilkan buku “Keris Melayu Semenanjung: Suatu Pengenalan” yang dilancarkan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan baru-baru ini.

Dalam mencari maklumat itu, beliau antara lain bertemu dengan beberapa orang empu di Melaka dan Kelantan, serta mendapatkan maklumat dari Muzium Pusaka Jakarta, muzium di Palembang, Lombok dan Makasar serta di Singapura. - UPM


SXDcXAa~