| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Pameran Berindeks ‘NYAWA’16: BRAIN’ pamer kombinasi sains dan seni


Oleh: Syazana Muhammad

SERDANG, 11 Jan - Bahagian Edu-Park, Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan pameran berindeks NYAWA’16: BRAIN di Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM.

Timbalan Pengarah Bahagian Edu-Park, Prof. Madya Dr. Faridah Qamaruz Zaman berkata pameran seumpama itu akan meluaskan lagi perspektif masyarakat terhadap kombinasi sains dan seni yang akan menjadi wasilah dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi pada masa kini.

“Pameran ini menarik minat pelbagai lapisan masyarakat kerana gaya persembahan yang menarik dan interaktif serta mempamerkan 24 artifak yang disumbangkan oleh penyelidik daripada pelbagai latar belakang dan disiplin ilmu,” katanya.

Beliau berkata, pameran itu mempamerkan artifak yang bertemakan otak daripada hasil kajian saintifik para penyelidik UPM yang berkolaborasi dengan penyelidik UKM untuk dipersembahkan melalui gubahan seni kontemporari.

“UPM menerajui kajian dalam penuaan dengan wujudnya Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia. Kesedaran masyarakat terhadap penyakit yang biasa dihadapi oleh warga emas seperti dementia, strok, kencing manis, diberi penekanan dalam pameran NYAWA kali ini,” katanya.



Pameran yang bermula 24 Oktober lalu itu adalah pameran edisi kelima dalam siri katalog berindeks NYAWA selepas kejayaan empat siri sebelum itu (NYAWA’12: Fruit, NYAWA’13: Insect, NYAWA’14: Microbe, NYAWA’15: Bird). Ia terbuka secara percuma kepada orang ramai.

Pameran dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha (Pengurusan & Pemantauan) Dr.Junaidah Lee Abdullah.

Sebuah penerbitan berindeks akan diterbitkan sempena pameran NYAWA’16: BRAIN ini yang mengandungi artikel dan foto sepanjang pameran. Ia boleh diakses melalui capaian Virtual Library Museum Pages (VLMP), yang merupakan sebahagian daripada International Council of Museum (ICOM) yang berpangkalan di Paris, Perancis. - UPM

 

 


SXETDAK~