Pelajar PhD UPM Menang Pertandingan Esei UMNO | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Pelajar PhD UPM menang pertandingan esei UMNO

Pelajar PhD UPM menang pertandingan esei UMNO

KUALA LUMPUR: Pelajar doktor falsafah (PhD) Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Farhan Hanif Ridzuan diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Kreatif Esei kategori Bahasa Melayu sempena sambutan Hari UMNO Ke-71, hari ini.

Mohd Farhan Hanif membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, trofi serta hadiah sampingan.

Hadiah disampaikan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pemenang tempat kedua pula adalah Nor Fazira Roslan, yang menerima wang tunai RM3,000, trofi serta hadiah sampingan, manakala tempat ketiga dimenangi Amirul Razif Zainal Abidin (RM2,000, trofi dan hadiah sampingan).

Bagi kategori esei Bahasa Inggeris, pelajar jurusan Kewangan Islam Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Hasman Hasmin diumum sebagai pemenang pertama dan turut memenangi hadiah wang tunai RM5,000 serta trofi dan sijil.

Pemenang kedua dan ketiga masing-masing dirangkul, Mohamad Amirul Syafik Samsul dan Noraina Abas.

Bagi kategori video pendek, tempat pertama dimenangi Abdul Mukmin Abdul Aziz, diikuti tempat kedua oleh Mohd Zainuddin Mohd Zain serta ketiga, Fatin Shahira Yusof.

Kesemua mereka masing-masing membawa pulang hadiah RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 berserta trofi dan sijil.

Pertandingan esei dan video pendek bertemakan 'Tujuh Dekad Membangunkan Negara Bangsa' dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71.

Sementara itu, Kontinjen UMNO Wilayah Persekutuan turut diumumkan pemenang Karnival Sukan, sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000 dan piala iringan.

Tempat kedua dan ketiga, masing-masing dimenangi Kontinjen UMNO Selangor dan Terengganu, manakala Johor dan Pahang berkongsi kedudukan keempat.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM30,000, RM20,000 dan RM10,000 serta piala iringan.

Karnival Sukan sempena Ulang Tahun UMNO Ke-71 diadakan bermula 9 Mei lalu dan melabuhkan tirainya petang tadi.

Sumber dari : http://www.bharian.com.my/node/281539?m=1

Kemaskini:: 12/05/2017 [haslinda_s]

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389464225
0389464232
C1508732167