Pelajar UPM, Angeli Menang Kali Kedua Berend Houwen Travel Award | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Pelajar UPM, Angeli menang kali kedua Berend Houwen Travel Award

Pelajar UPM, Angeli menang kali kedua Berend Houwen Travel Award

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail


SERDANG, 30 Sept - Pelajar Sarjana Sains (Haematologi), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Angeli  a/p Ambayya @ Ampiah mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi anugerah Berend Houwen Travel Award untuk dua tahun berturut-turut.

Beliau memenangi anugerah berprestij Berend Houwen Travel Award 2016 di Milan, Itali baru-baru ini, selepas memenangi anugerah sama pada 2015 di Chicago, Amerika Syarikat.

Bahkan dua kajiannya memenangi anugerah bagi tahun 2016. 

Anugerah itu disampaikan ketika Simposium Antarabangsa mengenai Inovasi Teknologi dalam Hematologi Makmal ke-29 sempena persidangan tahunan International Society of Laboratory Haematology (ISLH) dari 12 hingga  14 Mei  lalu.

Angeli , 34, yang kini bertugas sebagai PegawaiSains di Makmal Rujukan Klinikal Hematologi, Hospital Ampang, adalah antara tujuh orang dari seluruh dunia yang memenangi anugerah berkenaan bagi 2016.

Beliau yang berasal dari Raub, Pahang menerima sijil, plak, wang tunai AS$3,000 dan pendaftaran percuma untuk mengikuti  persidangan itu.

“Saya tidak menjangka akan menang lagi kerana sudah menerima anugerah itu pada 2015. Pada fikiran saya, penganjur akan mencari pemenang lain.

“Saya terkejut apabila menerima emel daripada ISLH yang memaklumkan kemenangan itu,” katanya dalam temu bual di sini.



Katanya, beliau menghantar abstrak kajian ketika hampir kepada tarikh tutup penyertaan, dan menghantarnya bukan untuk menang sebaliknya kerana persidangan itu adalah persidangan antarabangsa terbaik berkaitan hematologi.

“Saya tidak menyangka tajuk kajian yang saya pilih untuk pengajian sarjana saya akan mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya sambil mengucapkan penghargaan kepada UPM.

Angeli pernah menghantar abstrak kajian dua kali iaitu pada 2012 dan 2013 kepada ISLH tetapi tidak memenanginya. Hanya pada 2015  beliau memenanginya, sebelum mengulangi pencapaian itu tahun ini.

Beliau mengucapkan penghargaan atas bantuan dan sokongan yang diberikan oleh penyelianya Pensyarah Kanan, Jabatan Pathologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Dr Sabariah Md Noor; seorang lagi penyelia Dr Zainina Seman juga Pensyarah Kanan fakulti itu; Ketua Jabatan Hematologi Hospital Ampang, Dato’ Dr Chang Kian Meng; Ketua Makmal Hematologi hospital itu, Dr Subramanian Yegappan; serta Pakar Hematologi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Dr  Lim Soo Min.

Katanya, beliau memenangi anugerah itu melalui dua kajian penyakit leukemia myeloid akuty ang bertajuk Identification of germline and somatic aberrations in acute myeloid leukaemia genome by using customised DNA microarray dan Novel genomic aberrations detected with customised DNA microarray in Acute Myeloid Leukaemia (AML) patients with poor survival.

Kajian itu menggunakan teknik mikroarray dengan kombinasi kaedah Comparative Genomic Hybridization (CGH) dan Single Nucleotide Polymorphism (SNP) membolehkan pengesanan keabnormalan genomik yang berkaitan dengan copy number alterations (CNAs) pada resolusi yang lebih tinggi dan membantu pengesanan copy neutral loss of heterozygosity (CN-LOH) pada masa yang sama.

Dalam hasil kajian kedua, sebanyak 526 aberasi genomik telah dikesan pada pesakit yang tergolong dalam kumpulan telahan yang tidak memuaskan (poor overall survival patients). 

Menurutnya, aberasi genomik  signifikan dan pertama kali dijumpai (novel) yang dilihat berulang pada pesakit yang tergolong dalam telahan yang kurang memuaskan di kalangan pesakit penyakit leukemia myeloid akut di Malaysia merupakan satu penemuan menarik kerana boleh menjadi independent predictor of overall survival. – UPM 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEUGAV~