| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Pelajar UPM, Saritha bawa Malaysia julang emas memanah Piala Dunia

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh



SHANGHAI, 9 Mei - Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Saritha Cham Nong melakar sejarah apabila muncul bersama dua rakan sepasukan atlet memanah wanita negara dengan menjuarai acara compound Peringkat Pertama Piala Dunia 2015 di Shanghai, China.

Trio negara beliau bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Nor Rizah Ishak berjaya menewaskan pasukan nombor satu dunia, Amerika Syarikat yang diwakili oleh Crystal Gauvin, Angela Bradley dan Lexi Keller 220-219 mata dalam saingan perlawanan akhir yang mendebarkan.

Saritha, 27, pelajar tahun 3, Bacelor Pembangunan Manusia, Fakulti Ekologi Manusia amat menghargai usaha Pusat Sukan UPM yang memberinya banyak pendedahan beraksi dalam kejohanan memanah dan padang latihan.

“Sudah tentu hadiah ini untuk negara dan UPM,” kata anak kelahiran Pengkalan Hulu, Perak yang berketurunan Siam ketika dihubungi akhbar Tribun Putra.


Saritha, kiri bersama trio kebanggaan negara


Skuad negara yang layak ke pusingan penyingkiran selepas muncul pasukan keempat terbaik pada pusingan kelayakan, menewaskan musuh ketat mereka pada Sukan SEA iaitu Vietnam 220-212 dan pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2014 di Incheon, iaitu India 220-216 pada dua halangan pertama untuk menempah tempat ke separuh akhir menentang juara bertahan Eropah, Rusia.

Ia adalah pingat emas pertama dituai oleh pasukan negara dalam sukan memanah di pentas terbesar ini. Terdahulu, Malaysia pernah memenangi lima perak dan dua gangsa di Piala Dunia dan semua hadir daripada sumbangan acara recurve lelaki.

Kemenangan itu dianggap cukup bernilai selepas kali terakhir pasukan compound negara beraksi dalam Piala Dunia ialah pada 2010. Terdahulu dalam separuh akhir, gandingan Saritha-Fatehah-Norizah menewaskan Russia yang diketuai pemain nombor tiga dunia, Natalia Andreeva, 219-215 manakala gandingan trio AS menewaskan Colombia 224-222.

Skuad Rusia meraih pingat gangsa selepas menewaskan juara bertahan dunia dari Colombia 233-22 mata.


SXDcRA4~