Pelan Komprehensif Penting Untuk Kemajuan Sains Dan Teknologi Negara Islam | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Pelan komprehensif penting untuk kemajuan sains dan teknologi negara Islam

Pelan komprehensif penting untuk kemajuan sains dan teknologi negara Islam


Oleh: Azman Zakaria
Foto:  Marina Ismail


SERDANG, 19 Dis - Negara-negara Islam perlu berganding bahu dan menghasilkan pelan komprehensif  ke arah meningkatkan kerjasama saintifik dalam nanosains dan nanoteknologi, kata Setiausaha Agung Majlis Inisiatif Nanoteknologi Iran (INIC),  Profesor Sarkar Saeed.

"Kita perlu memberikan lebih masa dan bekerjasama, perlu ada kerjasama antara negara-negara Islam untuk membangunkan bidang ini. Perancangan strategik, dasar serta program mesti dirangka.

“Yang penting adalah pembinaan keupayaan, dan pelan ini mesti seiring dengan keupayaan kita. Kita tidak boleh menggunakan hanya satu pelan untuk semua kerana tahap kemajuan dan pembangunan tidak sama antara negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada “Nanoscience and Nanotechnology Development Forum” dengan kerjasama Mustafa Science and Technology (MSTF) di bawah “Science and Technology Exchange Program (STEP) in Islamic Countries”, di sini. Program itu dianjurkan bersama oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Mustafa Prize Secretariat.

Justeru katanya, setiap negara perlu menyumbang untuk sama-sama berkongsi instrumen dan infrastruktur.

Professor Sarkar yang juga wakil Mustafa Prize, berkata masa depan negara-negara Islam bergantung kepada sains dan teknologi kerana ekonomi berasaskan pengetahuan tidak hanya memperkembangkan pengetahuan tetapi juga boleh menyumbang kepada kekayaan.

 "Ini yang kita perlukan dan mesti dilaksanakan. Perlu ada program komprehensif bagi mewujudkan suasana persekitaran kondusif.

“Kita perlu tahu bagaimana untuk melakukannya dan meyakinkan pihak pembuat keputusan untuk melakukan apa yang mereka perlu dilakukan seterusnya," katanya.

Bagi mengembalikan era kegemilangan sains dan teknologi negara-negara Islam, katanya, ekonomi berasaskan pengetahuan mapan perlu dicapai oleh masyarakat Islam.

"Kita perlu bersama dan berganding bahu untuk menyumbang kepada dunia. Perkara penting adalah untuk menyemai kesedaran dan menyampaikan  mesej. Mesti ada matlamat yang disasarkan," katanya. - UPM

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEUUAs~