| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Pengecualian yuran permohonan sempena UPM Postgraduate Open Day & Exhibition

Oleh Khairul Anuar Md. Noh



SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan pengecualian yuran permohonan kepada pengunjung yang mendaftar untuk melanjutkan pengajian program siswazah sepanjang dua hari program UPM Postgraduate Open Day & Exhibition pada 9 -10 Mei, 2015 di kampus itu.

Program itu membuka peluang kepada pelajar-pelajar dan orang awam untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah (Master dan Ph.D) dalam 256 program meliputi bidang pertanian, bioteknologi, perubatan, sains kesihatan, kejuruteraan dan lain-lain.

Pendaftaran pengajian siswazah itu khususnya bagi kemasukan semester pertama 2015/2016 yang akan bermula pada bulan September,2015 di mana tarikh tutup permohonan iaitu 31 Julai, 2015 (pelajar tempatan) dan 30 jun (pelajar antarabangsa).

Kakitangan awam dan swasta juga beroleh manfaat mendapat maklumat bukan sahaja berkenaan program-program siswazah di UPM tetapi peluang biasiswa dan bantuan kewangan pada program selama dua hari dari jam 9.00 pagi – 4.30 petang di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.



Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan iaitu pameran dan konsultansi secara bersemuka dengan wakil dan pakar dari 16 buah fakulti dan 9 institut penyelidikan UPM, taklimat program pengajian dari fakulti, taklimat program kerjasama antarabangsa UPM dengan universiti luar negara, cabutan bertuah dan persembahan kebudayaan dari pelajar antarabangsa di UPM.

Sebanyak 30 pempamer yang terlibat terdiri daripada semua fakulti dan institut di UPM, Putra Business School UPM, UPM Education & Training dan beberapa agensi luar seperti Kementerian Pendidikan Malaysia dan ELS Language Centres.

Antara pengisian utama program itu termasuk sesi taklimat penawaran program pengajian, biasiswa dan kepakaran, sesi cabutan bertuah dan taklimat kepakaran dan perkongsian ilmu oleh pakar-pakar penyelidikan UPM dalam bidang pertanian, kejuruteraan, sains sosial, teknologi maklumat dan ekonomi.

Hari terbuka siswazah UPM itu juga dibuat sejajar dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia untuk menggalakkan penjawat awam menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di mana pengunjung boleh berinteraksi secara terus dengan Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan Malaysia yang turut serta dalam program UPM itu.

Program anjuran Sekolah Pengajian Siswazah dengan kerjasama dengan Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM itu juga memperkenalkan kepelbagaian program pengajian serta memupuk minat kepada bakal pelajar setelah mereka berpeluang bersemuka dengan pelajar semasa, pendidik dan penyelidik UPM semasa pameran itu.

Bakal pelajar boleh mendapat gambaran sebenar tentang suasana pembelajaran, kemudahan dan persekitaran kampus serta mengetahui kejayaan-kejayaan UPM melalui aktiviti penyelidikan dan penglibatan pelajar.

Pada tahun lalu peratusan pelajar pascasiswazah yang mendaftar pengajian meningkat 70 peratus iaitu daripada 800 orang pada tahun 2013 kepada 1,350 pada tahun 2014 selain jumlah 1,700 pengunjung yang hadir meningkat 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman web www.sgs.upm.edu.my atau hubungi Rahmawati Umar,Sekolah Pengajian Siswazah UPM melalui talian 03-89464228/4223/4218/rahwati@upm.edu.my.


SXDdOA1~