| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Prof. Dr Mohd Sapuan dipilih untuk SEARCA Regional Professorial Chair

Oleh Azman Zakaria

Profesor Ir Dr Mohd Sapuan


SERDANG, 27 Julai - Ketua Laboratori Teknologi Biokomposit, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM),   Profesor  Ir Dr Mohd Sapuan Salit dipilih sebagai penerima geran SEARCA Regional Professorial Chair untuk tempoh 2015/2016 berdasarkan kejayaan serta sumbangannya terhadap pertanian mapan dan pembangunan luar bandar di rantau Asia Tenggara.

Beliau adalah ahli akademik tunggal dari Malaysia daripada kalangan enam orang penerima anugerah berkenaan,baru-baru ini. Lima yang lain adalah ahli akademik yang kesemuanya dari Filipina.

Penerima anugerah masing-masing memperoleh AS$5,000 daripada  SEARCA (Sains dan Pendidikan untuk Pertanian dan Pembangunan) Filipina.

Dengan pemilihannya sebagai SEARCA Regional Professorial Chair, Prof Dr Mohd Sapuan perlu mengajar satu kursus pasca siswazah dalam bidang kepakarannya selama 14 minggu.

Beliau juga perlu menyampaikan syarahan umum berhubung kajian yang dijalankannya iaitu “Komposit Kanji Enau Terbiodegreadasi Diperkuat Gentian Enau: Pembangunan dan Perincian.”


Bot kecil daripada bahan komposit hibrid gentian kaca dan enau


SEARCA Regional Professorial Chair yang diwujudkan pada 2011 bertujuan mengiktiraf ahli akademik di Asia Tenggara yang membuat sumbangan penting dalam bidang pertanian dan sains pertanian.

Prof Dr Mohd Sapuan berkata beliau tidak menjangka dipilih untuk SEARCA Regional Professorial Chair itu dan dimaklumkan mengenainya melalui surat oleh Pengarah SERCA, Gil C. Saguiguit, Jr.    

“Saya bersyukur dengan pemilihan ini dan akan mempertingkatkan lagi kajian untuk manfaat masyarakat umumnya,” katanya. 

Beliau berkata kajian mengenai komposit kanji enau yang dijalankannya adalah terhadap pokok enau atau nama saintifiknya Arengapinnata, serta produk yang boleh dihasilkan daripada pokok berkenaan.

Dalam bahasa Inggeris pokok itu dikenali sebagai sugar palm.

Menurutnya gentian pokok enau sudah boleh dihasilkan semasa pokok itu berumur antara lima  atau enam tahun. Batang pokok enau ditutup atau dibungkus dengan andang, iaitu gentian rerambut hitam pekat atau berwarna coklat yang dikenali sebagai injuk atau ijuk.

Katanya, gentian pokok enau mempunyai nilai komersil dan boleh digunakan sebagai atap serta boleh digunakan untuk membuat kopiah.

Beliau berkata ia juga boleh digunakan untuk membuat tali kapal kerana mempunyai ketahanan dan rintangan air laut yang tinggi, sifat kekuatan tegangan yang baik dan mengambil masa yang lama untuk musnah.

Gentian enau juga boleh digunakan untuk membuat alas kaki, hamparan,penapis air jernih dan tempat ikan menetaskan telur.

Katanya, beliau sedang menjalankan usaha membangunkan bot daripada gentian enau, dan untuk tujuan itu beliau akan ke Aceh pada Disember depan.

Justeru katanya, bahan gentian semulajadi seperti enau kini menjadi bahan alternatif yang berpotensi bagi gentian sintetik untuk kegunaan bahan komposit polimer sebagai bahan penguat. – UPM


SXDcRAy~