Program Jalinan Kasih @ 15 Dedah Pelajar Kepada Suasana Kampung | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Program Jalinan Kasih @ 15 dedah pelajar kepada suasana kampung

Program Jalinan Kasih @ 15 dedah pelajar kepada suasana kampung


Oleh: Nurin Wahidah Mohd Khalid dan Muhammad Hazarul Hadi Twosiman

SERDANG, 5 Nov - Kolej 15, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Jalinan Kasih @ 15 di Kampung Parit Raja, Batu Pahat, Johor bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar terhadap suasana dan kehidupan masyarakat kampung serta mendekatkan mereka dengan penduduk kampung, baru-baru ini.

Pengarah program, Nur Alisa Samsuri berkata, program yang diadakan kali keenam itu yang membawa pelajar Kolej juga bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama pelajar dengan warga kampung Parit Raja.

“Antara program yang dijalankan ialah rewang bersama penduduk kampung di surau berdekatan dan gotong royong di sekitar kampung termasuk membersihkan tanah perkuburan.

“Ia bertujuan mendidik kemahiran komunikasi pelajar ketika bersama warga kampung dan bagi meningkatkan rasa syukur pelajar,” katanya.

Beliau berkata, program itu adalah inisiatif dalam membentuk kemahiran insaniah pelajar yang membabitkan 70 pelajar bersama pengurusan kolej yang turut memberikan sumbangan ikhlas berupa keperluan khas seperti beras dan gula kepada 25 golongan asnaf di sekitar Parit Raja.
 
Ketua kampung, MajdanJamain pula berkata melalui program sebegitu, pelajar dapat mengenali budaya serta adat masyarakat kampung yang berbeza daripada di bandar, serta mengenali secara lebih dekat produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dihasilkan di kampung.

Program itu mendapat kerjasama Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) UPM yang memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk kampung dan peserta secara percuma serta pemeriksaan kanser payudara dan khidmat nasihat kesihatan. - UPM

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEUCAi~