Program Mobiliti Ke Thailand Beri Pendedahan Guna Bahasa Thai | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Program mobiliti ke Thailand beri pendedahan guna bahasa Thai

Program mobiliti ke Thailand beri pendedahan guna bahasa Thai


Oleh: Siti Fatimah Jamaluddin dan Noraina Tinggal 

  
SERDANG, 3 Dis – Pelajar Bahasa Thai, Universiti Putra Malaysia (UPM)  menganjurkan Program Mobiliti ke Thailand (Thai Language Enrichment Program) di Buriram, Thailand bagi memperoleh pengetahuan dan pemahaman secara langsung mengenai aplikasi penggunaan bahasa Thai, baru-baru ini.

Pengarah program, Mohd Shahiran Mohd Sakri berkata program itu adalah medium yang baik untuk pelajar bagi meningkatkan penguasaan bahasa asing serta berinteraksi dengan masyarakat setempat.

“Sepanjang program, kami perlu menggunakan bahasa Thai kerana ramai yang tidak fasih berbahasa Inggeris, jadi ia sedikit sebanyak memberi impak kepada kami untuk menguasai dan memperbaiki bahasa Thai,” katanya.

Pensyarah Bahasa Thai, Jittima Jehmong berkata program itu membuka minda pelajar mempelajari dan menguasai bahasa tersebut untuk penggunaan bukan sahaja dalam kelas malah kepada umum.

“Apabila mempelajari bahasa asing, individu berkenaan perlu menggunakan bahasa tersebut, memahami budaya dan personaliti sesuatu tempat terhadap bahasa yang dipelajari,” katanya.

Beliau berkata, pada masa kini pelajar hanya mempelajari bahasa asing untuk tujuan di dalam kelas dan tidak menjiwai penggunaan bahasa itu.

 “Masyarakat Thailand teruja apabila pelajar luar boleh menulis, membaca dan berkomunikasi di dalam bahasa Thai walaupun sedikit, dan ia memberi impak yang baik kepada pelajar.

“Melalui program ini, saya berharap pelajar bukan sahaja dapat menimba pengalaman tetapi juga mengaplikasikan sendiri bahasa Thai untuk lebih fasih serta dapat mengeratkan jalinan di antara kedua-dua negara,” katanya.

Program yang disertai 10 pelajar UPM itu adalah hasil kerjasama Pusat Pemajuan Kompetensi dan Bahasa (CALC) UPM bersama-sama dengan Buriram Rajabhat Universiti dan Ramkhamhaeng Universiti, Thailand. - UPM


 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEZCAj~