| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Program Ramah Mesra Pelajar Asper (Arus Perdana) bersama Naib Canselor UPM


Oleh: Che Zailawati Abdul Ghani
Foto: Norazreen Awang

SERDANG, 1 Jun – Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Ramah Mesra Pelajar Baharu Program Asasi Sains Pertanian (ASper) bersama pengurusan universiti bagi menghimpunkan pelajar baharu untuk bersama mengenali Pengurusan  Tertinggi Universiti.

Program itu dihadiri oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin.

Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian, Prof. Madya Dr. Norihan Md. Arifin berkata penganjuran program itu adalah wadah bagi pelajar baharu berhimpun bersama Pengurusan Universiti, Pengurusan Pusat Asasi Sains Pertanian, Pengurusan Kolej, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Bahagian Akademik agar dapat bekerjasama dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar.

“Program ini turut memberi ruang kepada pelajar berinteraksi secara terus bersama Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor berkaitan pembelajaran serta proses adaptasi diri di kampus UPM,” katanya.

Beliau berkata, program Asasi Sains Pertanian merupakan inisiatif UPM bagi menawarkan peluang penempatan kepada kelompok pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.



“Pada sesi ini seramai 830 pelajar program Asper (Arus Perdana) diterima melanjutkan pengajian di UPM. Program ini menghimpunkan kelompok pelajar cemerlang SPM yang bakal menjadi perintis kepada kecemerlangan penyelidikan dan pakar akademik negara menerusi gilapan bakat dalam pelbagai bidang di fakulti,” katanya.

Prof. Madya Dr. Norihan berkata proses pembangunan bakat dan pembentukan diri bermula dari peringkat Asasi lagi dan pelajar perlu menyediakan diri sepenuhnya dalam tempoh setahun sebelum melangkah ke peringkat bacelor dalam pelbagai program.

Program Asasi Sains Pertanian merupakan satu inisiatif UPM bagi menawarkan peluang penempatan kepada kelompok pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran.

Sementara itu, Prof. Datin Paduka Dr. Aini dalam amanat yang disampaikan  mengingatkan pelajar sebagai bakal siswa/siswi UPM supaya bijak mengatur jadual pembelajaran dan kehidupan dengan sebaik-baiknya.

“Sebagai pelajar yang berketerampilan, mereka perlu mendapatkan maklumat dan tahu di mana untuk mencari maklumat dan mengurangkan kebergantungan kepada orang lain. Ini adalah proses berdikari,” katanya.

Pelajar turut diingatkan agar menggunakan sepenuhnya peluang yang diterima kerana kecemerlangan tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata. Pemantapan kemahiran insaniah, disiplin dan penampilan diri turut menjadi elemen penting agar dapat menjadi graduan yang memenuhi kehendak pasaran kerjaya - UPM


SXDcTAY~