| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Ranking Sains Pertanian UPM 42 terbaik di dunia, 7 di Asia

 

 

SERDANG, 27 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar kejayaan cemerlang apabila subjek Sains Pertanian disenaraikan pada ranking ke-42 terbaik dunia dalam Best Global Universities Ranking 2016/2017 yang dikeluarkan oleh U.S.News & World Report pada 26 Oktober semalam.

Kedudukan penarafan subjek Sains Pertanian itu meningkat tiga anak tangga berbanding kedudukan ke-45 pada tahun 2015/2016, selain UPM memperkukuhkan kedudukan ketujuh terbaik Asia dan mempertahankan kedudukan universiti terbaik subjek Sains Pertanian yang terbaik Asia Tenggara.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata ranking UPM ke-42 terbaik di dunia itu adalah hasil peningkatan skor sebanyak 0.6 kepada 71.7 berbanding 71.1 skor pada tahun lalu.

Katanya prestasi cemerlang Sains Pertanian UPM ini disokong oleh kenaikan tiga indikator utama iaitu Global Research Reputation, naik kepada kedudukan 62 (75 tahun lalu), Total Citations 29 (37) dan International Collaboration 68 (83).

“Apa yang membanggakan, subjek Sains Pertanian UPM meraih kedudukan ke-19 terbaik dunia untuk indikator Regional Research Reputation, ke-19 Publications dan ke-29 Total Citations.

“Komitmen UPM dalam memperkasakan bidang pertanian yang telah diiktiraf oleh penarafan global membuktikan kritikan segelintir pihak bahawa UPM mengabaikan kebitaraan pengajian Pertanian adalah tidak benar.

“Kejayaan UPM dalam bidang Sains Pertanian adalah impak daripada kualiti akademik, penyelidikan dan sumbangan yang cemerlang daripada ahli akademik, staf dan pelajar.

“Peranan UPM dalam menyokong pemerkasaan bidang pertanian adalah sebagaimana terangkum dalam Pelan Strategik UPM 2014-2020 dan ia merupakan impak pelan strategik Putra Global 200,” kata Prof. Aini.

Laporan Best Global Universities Ranking itu membuat penilaian keseluruhan universiti-universiti utama dunia dan membuat penarafan ranking berdasarkan 22 subjek. U.S.News & World Report menyenaraikan 200 buah universiti terbaik di dunia untuk penilaian 2016/2017 berbanding 750 universiti pada 2015/2016.

 

 

SXETOA0~