Robot Pelajar UPM Juara Robogamez | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Robot pelajar UPM juara Robogamez

Robot pelajar UPM juara Robogamez

Oleh Noor Eszereen Juferi


BANGI, 24 Februari – Pasukan pelajar Bacelor Kejuruteraan (Elektrik dan Elektronik), Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjuarai kategori terbuka pertandingan Robogamez 2013 selepas menampilkan kehebatan dalam kejuruteraan robotik.

Pasukan UPM yang dikenali dengan nama Putra-X disertai oleh Mohd Hasimi Mohd Sidek, Mohamad Hafizi Kasman, Mohamad Asmi Ashaari dan Muhammad Azizi Md Idruss.

Menurutnya, robot bernama Putra Bot-X yang dihasilkan dengan kos RM1,000 boleh digunakan menyelenggara kawasan berisiko tinggi seperti kawasan tumpahan bahan kimia berbahaya dan radioaktif.

Dalam pertandingan akhir itu, pasukan Putra-X dengan robotnya Putrabot-X menewaskan tiga pasukan lain iaitu dua daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan wakil Universiti Malaya (UM).

Selain itu, pasukan Putra-X menang dua daripada tiga pusingan sekali gus mengumpul markah tertinggi sebanyak 450 mata selain menggondol Anugerah Kejuruteraan Terbaik.

Dengan kejayaan itu, pasukan Putra-X memenangi wang tunai RM3,500, sijil penyertaan dan piala daripada Pegawai Informasi Tenaga Nasional Berhad, Kamaruddin Mahmood.

Pelajar UPM yang menjadi peserta Putra-X, Mohd Hasimi Mohd Sidek berkata reka bentuk senjata pada Putra-Bot X yang tidak dimiliki robot lain mungkin menjadikan hasil kerja mereka sebabagai pilihan pengadil.

“Tahun lalu kami tewas di peringkat akhir dan bersyukur kerana berjaya menebus kekecewaan menjadi johan tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu.

Pertandingan kali ketujuh anjuran Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang disertai 60 pasukan dalam kategori terbuka dan 50 pasukan daripada sekolah-sekolah menengah seluruh negara bertujuan meningkatkan kreativiti generasi muda dalam teknologi dan inovasi kejuruteraan robotik.


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEZRA7~