Rumah Pembesar Istana Negeri Sembilan Dipindahkan Ke UPM | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Rumah Pembesar Istana Negeri Sembilan dipindahkan ke UPM

Rumah Pembesar Istana Negeri Sembilan dipindahkan ke UPM

Oleh Muhamad Najkhan Mazlan
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan


KUALA PILAH, 9 Feb – Sebuah rumah lama tradisional Negeri Sembilan milik Orang Empat Istana (Pembesar Istana) Seri Menanti dipindahkan ke Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk dijadikan Muzium Warisan Melayu.

Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif berkata setiap bahagian rumah itu dibuka satu persatu sebelum ianya dibina semula mengikut struktur pelan rumah asal di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM.

“Kerja-kerja pembinaan semula rumah yang bermula Mac ini dijangka mengambil masa selama empat bulan. Rumah ini akan menjadi tarikan utama pelawat ke muzium selain untuk tujuan pendidikan.

"Rumah ini dibina sendiri oleh pemiliknya, Datuk Raja Diwangsa Muhammad Yunus Jabar yang digelar ‘Tok Tonso’ oleh masyarakat Kampung Merual, Seri Menanti dengan dibantu Dukun Mahat dan Tukang Kassim sekitar 1920-an.

 



"Rumah ini diserahkan oleh Darwinshah Muhammad Yunus yang merupakan waris Datuk Raja Diwangsa kepada  UPM untuk dipulihara dan dijadikan Muzium Warisan Melayu,” katanya di sini.

Dr. Pauzi berkata hanya pemindahan dan pemuliharaan sahaja yang akan dapat menyelamatkan rumah tradisional untuk tatapan generasi akan datang daripada terbiar dan musnah begitu sahaja.

“Rumah tradisional Negeri Sembilan ini terbahagi kepada lima bahagian utama iaitu anjung, serambi, induk atau ibu, loteng dan kelek anak atau rumah dapur.

“Dibina menggunakan kayu cengal batu, ia mempunyai keunikan tersendiri iaitu tidak mempunyai tiang di dalam rumah yang menyokong struktur bumbung dan loteng rumah.

“Keistimewaan rumah ini bukan sahaja mempunyai loteng yang luas sebagai bilik tidur anak perempuan tetapi dibina dengan seni bina ukiran Melayu yang menarik dengan didokong oleh falsafah dan filsafat tukang kayu lama," katanya.

- UPM/MNM/KAM/DEL


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEYBA5~