| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Sekolah, Melayu sendiri tidak bersungguh martabatkan BM: Citra Sahabat DBP

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG, 26 Nov (UPM) – Seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) menyuarakan kebimbangannya tentang kemerosotan penguasaan bahasa Melayu tinggi yang begitu ketara di Malaysia kebelakangan ini.

Menurut Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan Sosial dan Pembangunan UPM, Prof  Madya Dr Sarjit Singh Gill, 40,  perkara ini dapat dilihat daripada jawapan dalam peperiksaan oleh mahasiswa, hinggalah kepada perbahasan para wakil rakyat di Parlimen.

Sebaliknya, kata beliau hampir semua lapisan masyarakat hari ini lebih gemar menggunakan bahasa basahan  atau bahasa “rendah” dan seolah-olah langsung tidak berasa bersalah apabila mereka mengorbankan keindahan bahasa  Melayu yang terkenal sebagai bahasa Nusantara yang begitu indah berseni suatu ketika dulu.

Terlatih sebagai ahli antropologi, Dr Sarjit banyak membuat kajian dan menulis kritikan tentang penggunaan dan kemajuan bahasa Melayu sejak lebih sedekad lepas.

Beliau berpendapat sistem persekolahan dan sikap orang Melayu sendiri  menyebabkan wujudnya perbezaan yang begitu ketara antara pengunaan bahasa Melayu rendah dan tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia sekarang.

 “Apabila penutur bahasa ibunda sendiri tidak bersungguh-sungguh bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu (tinggi), maka bahasa itu akan dikuasai bahasa pasar yang kita dengar atau baca setiap hari,” katanya.

Sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan sumbangan beliau, Dr Sarjit dipilih sebagai penerima anugerah “Citra Sahabat DBP”, yang disampaikan Menteri Pendidikan II Dato’ Seri Idris Jusoh pada 7 Nov 2013.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang ditubuhkan pada 1956, adalah pihak berkuasa yang diamanahkan mengawasi pembangunan bahasa Melayu (bahasa rasmi Malaysia) secara seragam dan baku di negara ini.



Dr Sarjit berkata selepas Merdeka, bahasa Melayu terus berkembang dan mencapai persada tinggi seperti yang dapat dilihat dalam siri Syarahan Perdana yang menggunakan bahasa Melayu tinggi.

“Saya harap, para editor akan mengekalkannya demikian,” kata Dr Sarjit, individu pertama dari kalangan ahli akademik yang diberi pengiktirafan tersebut oleh DBP kerana sumbangan beliau yang tidak ternilai terhadap kemajuan bahasa Melayu dan penulisan dalam bahasa itu.

Sejak 1999, Dr Sarjit telah menghasilkan lebih 80 artikel, kebanyakannya dalam bentuk ulasan tentang kemajuan dan penggunaan bahasa Melayu.

Artikel berkenaan tersiar dalam pelbagai penerbitan  DBP, termasuk Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Pelita Bahasa dan Dewan Siswa,  di samping akhbar Berita Harian.  

“Tulisan saya bertemakan manusia, masyarakat dan budaya Malaysia, manakala kritikan saya pula bersifat membina kerana saya juga mencadangkan penyelesaiannya.

 “Saya rasa mungkin inilah sebabnya DBP menghargai kerja saya,” kata Dr Sarjit sambil menambah bahawa beliau juga membantu DBP menganjurkan persidangan dan seminar.

Ahli akademik kelahiran Sentul, Kuala Lumpur ini mendapat pendidikan awal di SRK Jalan Kuantan I dan Sekolah Tinggi Setapak, sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hingga memperoleh ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang antropologi dan sosiologi pada 1998 dan 1999.

Hasil bimbingan sarjana sosial antropologi terkenal Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, ahli akademik yang amat beliau kagumi, Dr Sarjit melanjutkan pengajian hingga memperoleh PhD daripada UKM pada 2005.

Dr Sarjit berkata beliau akan terus menulis kritikan tentang bahasa Melayu walaupun sibuk dengan tugas sebagai pensyarah, editor dan penasihat. Beliau adalah editor eksekutif Malaysian Journal of Youth Studies dan menjadi anggota Institut Integriti Malaysia (IIM) sejak 2009.

Satu lagi keistimewaan Dr Sarjit ialah beliau dipilih sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low untuk menganggotai Pasukan Petugas bagi Mengkaji Laporan Siasatan Kebangsaan mengenai Hak Tanah Orang Asli oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dr Sarjit berkata impian beliau seterusnya ialah menghimpunkan semua tulisannya ke dalam sebuah buku setelah menghasilkan artikel ke-100 kelak. – UPM

-/kgo /sp


SXDdHA4~