| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Seramai 1,620 anggota PALAPES terima tauliah daripada Sultan Selangor

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail dan Noor Azreen Awang


SERDANG, 15 Ogos - Seramai 1,620 anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) universiti awam (UA) menempa detik bersejarah apabila menerima pentauliahan pada istiadat penuh gemilang di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor UPM berkenan menyampaikan pentauliahan itu pada majlis Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA ke-34. Ia bertemakan ‘Watan Mendaulat Nusa’. 

Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Besar Selangor, YAB Mohamed Azmin Ali; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dr. Haji Zulkifeli Mohd Zin; panglima ketiga-tiga cabang perkhidmatan; dan Naib Canselor yang juga Komandan PALAPES UPM, Kolonel (Kehormat)  Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan.




Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memeriksa perbarisan yang diketuai Pegawai Kadet Terbaik Darat, Pegawai Rendah Muda Muhammad Syahiran Abd Sukor dari UPM serta menerima tabik hormat daripada anggota-anggota PALAPES yang membabitkan 24 detasmen dari 18 universiti seluruh negara, pada istiadat perbarisan pentauliahan yang diadakan di Padang Kawad PALAPES UPM.

Istiadat pengurniaan watikah tauliah pula diadakan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM.

Ketika bertitah pada istiadat perbarisan pentauliahan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas kejayaan anggota PALAPES itu dan berharap illmu ketenteraan yang dipelajari dalam jangka waktu tiga tahun bersama PALAPES terus diperkemaskan apabila mereka berada dalam pasukan simpanan nanti.



“Beta amat berbangga melihat anak-anak muda yang sedang menjalani pengajian akademik di menara gading segak berdiri serta berbaris dengan pakaian seragam tentera dan beta dapat merasakan betapa bangganya negara ini memiliki anak-anak muda yang berilmu, tinggi akal budi serta hebat pekerti dan juga mempunyai semangat patriotik untuk bersama-sama menyumbang dalam membangunkan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah anggota PALAPES adalah pewaris bangsa dan individu yang dapat menyumbang kepada pertahanan dan kesejahteraan negara di dalam menghadapi sebarang ancaman daripada luar mahupun dalam negara.

“Beta turut berharap agar saudara saudari dapat meneruskan semangat patriotik ini demi mewujudkan kecintaan kepada negara serta dapat memberi nilai tambah dalam diri sama ada daripada segi rohani mahupun jasmani.



“Beta juga ingin mengingatkan saudara saudari sekelian supaya dapat meneruskan sumbangan bakti yang tinggi untuk negara dalam segala aspek di mana juga berada dan boleh  menyumbang dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara daripada anasir-anasir yang tidak diingini,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan anggota PALAPES supaya melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik dan baginda mahu melihat masyarakat majmuk dalam negara ini sentiasa hidup harmoni, bertoleransi dan berbaik sesama sendiri.




“Sebagai kelompok masyarakat yang bertamadun dan berasaskan budaya ketimuran, kita hendaklah sentiasa beretika mulia, hormat menghormati serta mengamalkan prinsip 1Malaysia bagi mengukuhkan ikatan persahabatan di antara semua bangsa dalam negara ini,” tiitah baginda. - UPM


SXESVAL~