| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

SULTAN SELANGOR RASMI KAMPUS UPM-BINTULU, SAKSIKAN MoU

Oleh Noor Eszereen Juferi
Foto oleh Marina Ismail



BINTULU, 10 Mac (UPM)– Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan kampus Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) yang merupakan lawatan julung kali baginda ke kampus itu.

Pada majlis itu, baginda diberi penerangan tentang pembangunan UPMKB  oleh Naib Canselor UPM, Profesor Dato' Dr. Mohd Fauzi Ramlan dan seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik perasmian UPMKB.

Turut menyambut ketibaan Sultan Negeri Selangor Darul Ehsan itu di Lapangan Terbang Bintulu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Menteri Kemudahan Awam, Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pegawai Pengurusan Tertinggi dan pegawai kanan UPM dan juga wakil daripada pelbagai suku kaum di Bintulu yang memperagakan pelbagai pakaian tradisional.



Pada majlis itu, baginda menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dengan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang akan ditandatangani oleh Naib Canselor UPM dan Pengurus Besar BDA, Datu Mohidin Ishak.

MoU itu akan mengukuhkan kerjasama kedua pihak dalam bidang pertanian dan pelaksanaan aktiviti pembangunan komuniti di Bintulu melalui program-program pengembangan pertanian selain menjadi landasan pembangunan kemahiran pelajar dengan penyediaan tempat latihan industri di bawah agensi-agensi BDA.

Baginda turut berkenan menyempurnakan penanaman pokok Engkabang di hadapan Dewan Sri Kenyalang UPMKB sebagai tanda ingatan lawatan ke UPMKB. Minyak yang dihasilkan dari buah Engkabang dikatakan mirip mentega. 



Pada sebelah malamnya, Sultan Sharafuddin bertitah, penyelidikan dalam bidang pertanian, perhutanan dan alam sekitar dapat membantu dalam memastikan perlindungan serta pengurusan alam sekitar yang berkesan dapat dilaksanakan secara terancang oleh UPM.

Titah baginda, pelbagai usaha yang boleh dimanfaatkan secara bersama oleh UPM dan kerajaan negeri Sarawak memandangkan kawasan Bintulu adalah termasuk dalam daerah pembangunan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE).

“Beta yakin potensi dan kekuatan UPM dalam bidang pertanian, industri berteraskan pertanian, marin dan sumber tenaga asli akan menyokong pembangunan SCORE secara berkesan di samping membekalkan tenaga sumber manusia dalam melaksanakan pembangunan SCORE ini,” titah tuanku pada Majlis Santapan Malam Bersama Tuanku Canselor diadakan di Millenium Ballroom, Hotel Parkcity Everly di sini.



Keesokan harinya, baginda meluangkan masa kira-kira tiga jam melawat Taman Negara Similajau  serta  diberi penerangan tentang keunikan dan pengurusan hutan di taman tersebut oleh pihak Sarawak Forestry Corporation.

Sejarah penubuhan UPMKB bermula apabila kampus cawangan ini ditubuhkan di kampus sementera Semenggok, Sarawak pada bulan Jun 1974. Pada 10 Januari 1992, UPMKB ditutup bagi memberi laluan kepada penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).



Pada Februari 2001 pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui surat Ketua Setiausaha KPM telah menyampaikan persetujuan Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia supaya UPM menggerakkan semula kampus cawangan UPM di Bintulu mula sesi akademik 2001/2002 dengan memberi tumpuan kepada bidang pengkhususan Pertanian dan Perhutanan. – UPM

-- nej/kgo


SXETLAv~