| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Syakir, Nur Ismazatul aktif laksana kerja amal

 

SERDANG, 2 Mei - Dapat menyelami kehidupan golongan masyakat terutamanya di luar bandar dan berbakti kepada mereka, memberikan kepuasan buat dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohamad Syakir Samsudin dan Nur Ismazatul Husna Ismail.

Melalui penyertaan dalam Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan melibatkan diri dalam kegiatan yang dijalankan, Mohamad Syakir dari Fakulti Sains dan Nur Ismazatul Husna dari Fakulti Ekologi Manusia, membantu dan memberi motivasi kepada keluarga yang hidup mereka agak susah.

Mohd Syakir yang menyertai YSS pada 2016, berkata beliau bersama beberapa anggota yayasan itu menyertai program ke Rumah Panjang, Kampung Buddy, Beluru, Miri, Sarawak dari 8 hingga 26 Februari 2017.

Merea tinggal di Rumah Panjang di situ sepanjang program, dan menjalankan aktiviti antaranya meletak papan tanda dan melukis mural di sekolah serta membersihkan kantin bersama-sama penduduk tempatan.

“Mereka sangat gembira dan kita juga seronok dapat membantu. Ia pengalaman menarik apabila aktiviti seperti itu dijalankan jauh di pedalaman, kita belajar benda baharu,” katanya.

Nur Ismazatul Husna yang menyertai YSS pada hujung 2015, pula telah menjalankan kerja amal bersama YSS di Ban Soukhouma, Champasak, Laos dari 24 Mac hingga 12 April 2016 dan di Kampung Lajong, Niah, Sarawak awal tahun ini.

Katanya, antara aktiviti yang dijalankan di Ban Soukhouma ialah membina tapak refleksologi daripada bancuhan simen dan batu yang terdapat di situ, mengadakan kelas asas Bahasa Inggeris dan program mendidik bahaya nyamuk Aedes dalam bentuk ‘explorace’.

Ketika di Kampung Jaong, Niah, Sarawak pula katanya, beliau bersama anggota YSS melaksanakan beberapa kegiatan termasuk membangunkan tangki air sebagai tempat menyimpan air hujan yang telah diproses.

“Apabila kita membantu orang, sebenarnya kita juga membantu diri sendiri kerana dapat menimba pengalaman dan perkara baharu. Kita melihat banyak keadaan dan ini dapat menyemai sifat rendah diri.

“Bila kita lihat orang susah, kita beri mereka motivasi dan resolusi. Ini juga boleh menguatkan iltizam kita,” katanya.

Beliau juga dipilih sebagai anggota delegasi YSS Malaysia ke IAVE 8th World Youth Volunteer Conference dari 3-5 November 2016 diikuti 24th World Volunteer Conference dari 7-11 November 2016 di Mexico. - UPM      

                

SXDdSAX~