Syarikat Baja Beri Kontrak Penyelidikan RM5 Juta Kepada UPM, Universiti Taiwan | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » Syarikat baja beri kontrak penyelidikan RM5 juta kepada UPM, universiti Taiwan

Syarikat baja beri kontrak penyelidikan RM5 juta kepada UPM, universiti Taiwan

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Marina Ismail



PUTRAJAYA, 25 Julai (UPM) – All Cosmos Industries Sbd Bhd, sebuah pengilang baja, telah menganugerahkan kontrak penyelidikan RM5 juta kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Taiwan Chung Hsing University untuk menghasilkan baja hijau dan mapan di samping boleh melindungi pokok kelapa sawit dan getah daripada penyakit.

Projek itu meliputi penyelidikan dan pembangunan teknologi maju bakteriofaj melalui pengkomposan tandan buah kosong (EFB) sebagai baja organik di mana mikrob dan bakteria ditambah untuk membunuh kulat di dalam ladang pokok getah dan kelapa sawit.

Geran penyelidikan itu adalah susulan kepada memorandum perjanjian dan memorandum persefahaman yang ditandatangani  antara UPM dan All Cosmos  pada November 2012.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan dalam ucapannya sempena majlis penyampaian anugerah itu berkata geran itu adalah satu pencapaian penting dalam usaha UPM menjadi sebuah universiti teknologi unggul bertaraf dunia.

Beliau menarik perhatian bahawa malalui anugerah itu, All Cosmos Industries merintis satu cara unik menyatukan mikrob semulajadi yang berfaedah dengan konsep bioteknologi untuk membangunkan produk bagi pembangunan mapan.

“Bagi saya, projek-projek ini mempunyai implikasi penting kepada negara, terutama kerana projek antara UPM dengan agensi atau industri berkaitan penerokaan-bio kepelbagaian hutan hujan tropika kita adalah contoh betapa program dianjurkan itu menyokong minat kerajaan terhadap penggunaan mapan sumber genetik bertujuan melahirkan kemewahan bio sambil mengekalkan warisan kita,” katanya.



Beliau yang merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Tony Peng Shih Hao kerana pemberian geran itu berkata UPM  amat berminat untuk bekerjasama dengan All Cosmos berkaitan penyelidikan dan pembangunan berterusan produk tambah-nilai menggunakan bakteriafaj dan bahan sisa bagi memenuhi keperluan persekitaran, pertanian dan eksport.

Dato’ Tony Peng, seorang warga Taiwan adalah pemilik All Cosmos Industries Sdn Bhd, pengilang baja bio-organik dan bio-kimia terkemuka di Zon Industri Pasir Gudang Johor.

All Cosmos dianggap sebagai pembekal utama baja kepada ladang-ladang kelapa sawit dan pokok getah milik Felda dan Risda di negara ini.

Prof Madya Dr H’ng Paik San, seorang pensyarah dengan Fakulti Perhutanan yang mengetuai projek penyelidikan itu di UPM berkata mereka telah memendekkan jangka masa pengkomposan EFB daripada enam ke sembilan bulan kepada dua bulan saja.



Dalam hubungan ini, sejumlah besar baja organik boleh dihasilkan setiap tahun daripada 90 juta tan biomas boleh diperbaharui (EFB, batang, pelepah, kulit dan sebagainya). Sisa biomas itu adalah daripada lima juta hektar ladang kelapa sawit di negara ini.

Mengikut pelan penyelidikan, baja organik daripada EFB akan diperkayakan dengan bakteriofaj (campuran mikrob, virus dan bakteria) dan baja kimia diperlukan untuk menghasilkan makanan paling sesuai bagi pokok kelapa sawit dan getah.

“Dengan penggunaan teknologi biofaj dalam baja bio-kimia terlibat, bakteria biasa ditemui pada tanah dan air boleh bertindak sebagai agen pengawal sebarang penyakit perosak yang dibawa kulat pada kebanyakan tanaman di Malaysia,” kata beliau.

Baja organik boleh mengekalkan kelembapan secukupnya untuk membolehkan bakteriafaj hidup dan memakan kulat yang boleh menyebabkan penyakit kepada pokok kelapa sawit dan getah.

Baja yang sempurna itu memerlukan tiga hingga lima tahun untuk memasuki pasaran, tambah beliau. – UPM.

- smz/kgo / kam


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEUTAm~