| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Taman Konservatori UPM himpun 500 spesies tumbuahan asli, eksotik

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 9 Nov - Umpama tempat sehenti bagi tumbuhan asli dan eksotik, Taman Konservatori Universiti Putra Malaysia (UPM) menghimpunkan koleksi hampir 500 spesies tumbuhan berkenaan.

Taman seluas kira-kira satu hektar ini juga menjadi lokasi penyelidikan, pembelajaran, rujukan dan rekreasi alam.

Lengkap dengan nurseri atau tapak semaian, ia juga dikunjungi pelawat yang ingin mendapatkan tumbuhan untuk tujuan herba dan perubatan tradisional.

Taman ini dahulunya adalah kawasan ladang getah dan diuruskan oleh Unit Ladang Universiti pada awal tahun 1980-an, sebelum diserahkan kepada Institut Biosains (IBS) pada 1996 untuk tujuan aktiviti penyelidikan.

Pegawai Pertanian IBS, Rishzuan Talib berkata taman itu dibahagikan kepada 11 zon mengikut fungsi, kegunaan dan jenis tumbuhan.

Zon berkenaan adalah zon Halia, Tumbuhan Ubatan, Paku-pakis, Ulaman, Tumbuhan Akuatik, Orkid Liar, Periuk Kera, Keladi, Rempah Ratus), Tumbuhan Wangian dan Buah-buahan Hutan.   

Fokus utama taman ini adalah terhadap tumbuhan herba.

Di zon Tumbuhan Ubatan, ada kira-kira 200 spesies yang asli dan eksotik yang terdapat di negara ini, antaranya Mata Pelanduk (Ardisiacrenata) danLemba (Molineriacapitulata).

Rishzuan berkata, tanamam ikon di taman ini ialah Keladi Murai atau Belimbing Tanah (Taccaintergrifolia) kerana kehebatannya untuk perubatan bagi penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Tumbuhan ubatan lain di sini termasuk Tongkat Ali (Eurycomalongifolia), Kacip Fatimah (Labisiapumila), Tongkat Ali Hitam (Polyathiabullata King), Tunjuk Langit (Helminthostachyszeylanica), Pecah Kaca atau Pecah Beling (Strobilanthescrispa), Putat (Baringtoniaracemosa ), Mahkota Dewa (Phaleriamacrocarpa), Senduduk Putih (Melastomadecemfidum), Belalai Gajah (Clinacanthus Nutans) dan Hempedu Bumi (Andrographispaniculata).



Pegawai Pertanian IBS, Rishzuan Talib


Katanya, kebanyakan spesies di zon Tumbuhan Ubatan ini diperoleh dari hutan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, spesies yang ditanam mempunyai nilai perubatan untuk menjadi alternatif kepada ubat. Ada antaranya yang jarang dilihat dan sukar diperoleh.

Di Zon Halia pula, terdapat kira-kira 100 spesies iaitu hampir separuh daripada jumlah spesies yang terdapat di Malaysia, antaranya Tepus (Zingiberspectabile) dan Kantan Hutan (Etlingeraterengganuensis).

Koleksi ulaman di Zon Ulaman pula mempunyai kira-kira 50 spesies yang dikumpulkan dari hutan dan kebun sayur-sayuran, antaranya Daun Gajus (Anacardiumoccidantale) dan Daud Salam (Syzgiumpolyanthum).

Di Zon Tumbuhan Wangian, terdapat kira-kira 50 spesies tumbuhan wangian merangkumi spesies asli dan eksotik. Penyebaran haruman bagi spesies yang terdapat di sini adalah melalui beberapa komponen penting pada tumbuhan seperti bunga, daun, kulit batang, buah, luahan getah, serta akar seperti Cempaka (Micheliachampaca) dan Hidung Babi (Rothmaniamacrophylla).

Rishzuan berkata, Taman Konservatori ini yang termasuk dalam sebahagian daripada program Edu-Park UPM, memperkenalkan tiga modul untuk pelawat yang berkunjung iaitu Meneroka Taman, Spa Herba, dan Bawaku Pulang, dengan bayaran yang minimum.

Melalui modul Meneroka Taman, pengunjung akan dibawa berjalan melalui laluan khas di kawasan taman oleh petugas sambil memberi penerangan mengenai pokok-pokok yang ada.

Setiap pokok juga ditanda dengan nama sainstifik, nama tempatan serta kegunaannya. Pokok-pokok itu juga ditandai dengan pengenalan identiti dan maklumat mengenainya disimpan dalam pangkalan data yang boleh diperoleh dengan melayari laman web.Terdapat kemudahan wi-fi di sini.

Pengunjung juga boleh mengikuti modul SPA Herba iaitu demonstrasi mandian herba. Ia bagi menyegegarkan badan, melancarkan peredaran darah serta untuk orang yang baharu bersalin.

Katanya,tujuh jenis bahan atau daun mandian digunakan termasuk limau kasturi, pokok lemuni, serai wangi, lengkuas dan daun kantan yang diracik sebelum dimasukkan ke dalam periuk tanah. Ia mengeluarkan aroma yang menyegarkan.

Bahan-bahan itu juga dijual dalam bentuk bunjut pada harga RM30 bagi setiap kotak yang mengandungi lima bunjut. Setiap bunjut boleh digunakan dua kali.

Sementara modul Bawaku Pulang pula terbahagi kepada dua iaitu mewarna flora bagi kanak-kanak, manakala bagi dewasa adalah demonstrasi penanaman dan pembiakan herba. - UPM


SXDdIA6~