| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

TRADEC’16 dan iKEKWA 1.0 bantu lahir pelajar usahawan


Oleh Faten Syahira Syakrein
Foto: Norazreen Awang

SERDANG, 19 Sept - Pelajar tahun akhir Bacelor Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shaick Shaifullah Jehangir Ali muncul juara program Cabaran Keusahawanan Dagang (TRADEC’16).

Shaick Shaifullah, 23, menjuarai TRADEC’16 menerusi syarikatnya Ombak Printing Services. Beliau menerima geran perniagaan bernilai RM1,800 dan pakej lawatan ke Guangzhao, China.

Program cabaran Integrasi Keusahawanan Ekonomi Wanita (iKEKWA 1.0) yang julung kali diadakan, pula dimenangi Aula Atikah Radzizuan. Beliau menerima geran perniagaan bernilai RM1,500 serta pakej lawatan ke Ho Chi Minh, Vietnam.

Majlis anugerah program TRADEC’16  dan iKEKWA 1.0 itu yang dianjurkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM diadakan di L’Apprenti Café, Golf UPM.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, manifestasi agenda keusahawanan di institusi pengajian tinggi di ukur melalui beberapa pencapaian utama seperti bilangan dan impak penglibatan pelajar dalam aktiviti.

Katanya, ia juga membabitkan pembelajaran keusahawanan serta pertambahan tenaga akademik yang kompeten dan mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan keusahawanan.

Turut hadiri Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr.-Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo serta Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr.Hawa ZE Jaafar.

Objektif utama pelaksanaan program TRADEC’16 adalah untuk melahirkan usahawan yang berkebolehupayaan dalam perniagaan dagang daripada kalangan mahasiswa serta meningkatkan jaringan strategik antara mahasiswa, universiti dan industri melalui aktiviti perniagaan.

Program Ikekwa 1.0 pula bertujuan membantu menambahbaik perniagaan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terpilih di kalangan wanita daripada aspek promosi dan pemasaran seterusnya menaik taraf ekonomi isi rumah melalui aktiviti keusahawanan di kalangan usahawan berkenaan. - UPM

 


 


SXDdGAs~