| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

Tuanku Canselor rasmi Pusat Pendidikan Perhutanan UPM


PUCHONG, 21 Mac  - Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Pusat  Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah UPM atau Sultan Idris Shah Forestry Education Centre (SISFEC), di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong di sini. 

Sultan Sharafuddin, merangkap Sultan Selangor melawat kemudahan yang ada di SISFEC yang merupakan  pusat rujukan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan amalan terbaik pengurusan hutan tropika di peringkat nasional dan global.

Baginda berharap kajian saintifik SISFEC berusaha membuat penemuan sumber genetik terbaru dan mengumpul rekod stok tumbuhan dan hidupan liar hutan itu secara berterusan.



Dalam titah perasmiannya, baginda berhasrat supaya kerajaan negeri Selangor mengubah tempoh perjanjian persefahaman hutan dengan UPM daripada 80 tahun pada masa sekarang kepada 999 tahun.

“Lanjutan ini bagi memastikan fungsi hutan ini sebagai kawasan hijau, pusat pemeliharaan sumber genetik dan pusat pendidikan dan penyelidikan Fakulti Perhutanan UPM dapat diteruskan selamanya,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga bertitah agar semua pihak termasuk penduduk yang berjiran dengan hutan itu untuk turut sama melindungi dan melaporkan aktiviti yang boleh merosakkan hutan itu.



Turut mengiringi Sultan Selangor ke pusat itu ialah Perdana Menteri Malaysia kelima merangkap Penasihat Landskap Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Tun Jeanne Abdullah; Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin; Pro Canselor-Pro Canselor UPM, Tan Sri Dato’ Setia Dr. Nayan Ariffin dan Tan Sri Dato’ Sri Lim Ah Lek serta Dekan Fakulti Perhutanan, Prof. Datin Dr. Faridah Hanum Ibrahim.

Pada akhir majlis, baginda mencemar duli ke upacara menanam pokok hutan dari spesis Merawan Meranti di perkarangan SISFEC.



Sementara itu Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi dalam sembah ucapannya berkata perjanjian  persefahaman di antara kerajaan negeri dan UPM pada 1996 telah memberi kebenaran kepada UPM untuk mengurus dan membangunkan Hutan Simpan Ayer Hitam, seluas 1,176.1 hektar sebagai hutan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan perhutanan sehingga tahun 2076.

“Kemudahan fasiliti termasuk penginapan, liputan internet dan makmal di situ membuka peluang kepada penyelidik dari dalam dan luar negara untuk menjalankan penyelidikan di Hutan Simpan Ayer Hitam,” katanya mengenai SISFEC yang berharga RM18juta menggunakan peruntukan Rancangan MalaysiaKe-9 di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.



Dato’ Ir. Dr. Radin Umar berkata selain itu, lebih 100 program pengembangan untuk penyebaran maklumat dan aktiviti perhutanan telah diadakan dengan agensi kerajaan, komuniti dan institusi pendidikan.

"SISFEC juga berfungsi sebagai kemudahan sokongan dan pelengkap kepada tiga program Fakulti Perhutanan iaitu Bacelor Sains Teknologi Kayu, Bacelor Sains Perhutanan termasuk program yang baru dimulakan pada sesi 2011-2012 iaitu Bacelor Sains Pengurusan Taman dan Rekreasi,”katanya.



Pengerusi majlis perasmian, Dr. Paiman Bawon ketika ditemui mengulas keunikan hutan itu pada pelbagai flora hutan dari utara dan selatan Semenanjung Malaysia selain tumbuhan yang sukar dijumpai di semenanjung dan Selangor. Salah satu daripada tiga ekspedisi saintifik yang telah dijalankan menemui beberapa spesies baru paku pakis dan lumut di Selangor.

“Hutan Simpan Ayer Hitam telah dijadikan makmal luar pelajar untuk  meningkatkan kemahiran dalam amalan pengurusan hutan.

“Sebagai makmal luar, hutan itu telah memberi peluang kepada pelajar mendalami pengetahuan dan kemahiran mengecam pokok dan daun, sains tanah, inventori pokok, silvikultur, ekologi, hidupan liar, rekreasi luar dan eko pelancongan,” katanya.

Berita disediakan oleh Khairul Anuar Muhamad Noh, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm) UPM. F0to disediakan oleh Mohd Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan (MarComm).


SXESUAs~