| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM, Airbus Helicopters Malaysia meterai MoU

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto: Noorazreen Awang

 

SERDANG, 28 April – Pusat Penyelidikan Pembuatan Aeroangkasa (AMRC), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalinkan kerjasama bersama AIRBUS Helicopters Malaysia (AHM) Sdn. Bhd. melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) ke arah meningkatkan lagi kualiti penyelidikan dan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya di UPM dalam bidang aeroangkasa.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata persefahaman UPM dan AHM mempunyai agenda besar ke arah mencapai Tranformasi Nasional 2050 serta menjadi rakan pintar dalam projek penyelidikan dan mobiliti pelajar bersama industri.

“AMRC UPM merupakan pusat penyelidikan yang ditubuhkan di Fakulti Kejuruteraan, pada Februari 2012. Usaha ini selari dengan peningkatan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan komposit khususnya di dalam industri aeroangkasa.

 

“Pusat ini berusaha secara strategik dalam penyelidikan gunaan, pembangunan produk dan latihan melalui perkongsian pintar dengan agensi kerajaan, institusi kebangsaan dan antarabangsa serta sektor swasta,” katanya.

Ketua Bahagian Pemasaran Sektor Kerajaan dan Industri Minyak dan Gas, Airbus Helicopters Malaysia, Mohamed Raziff Abdul Hamid, berkata AHM sebagai antara syarikat aeroangkasa yang diiktiraf di peringkat antarbangsa akan memudahkan proses perpindahan teknologi dan peningkatan pengetahuan khususnya dalam bidang helikopter.

Sebagai sebuah organisasi antarabangsa, katanya, AHM menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, baik pulih dan alat ganti untuk semua helikopter milik AIRBUS. “Malaysia mampu melahirkan lebih ramai jurutera yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas khususnya dalam industri aeronautikal,” katanya.

Pengarah  AMRC UPM, Prof. Ir. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan berkata melalui kerjasama itu, UPM menerima sumbangan dari AHM berupa enjin pesawat Lycoming (TIO-540-AB1AD) dengan anggaran nilai RM130,000 (US$30,000). Enjin itu akan digunakan secara aktif untuk tujuan penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran di UPM.

“UPM dan AHM telah bersetuju untuk menjayakan program pertukaran pegawai penyelidik UPM atau pelajar pasca siswazah ke AHM untuk tujuan penyelidikan dan perundingan kejuruteraan,” katanya.

Turut dirancang untuk dilaksanakan ialah program latihan industri pelajar prasiswazah UPM di AHM untuk tempoh 12 minggu. Melalui perjanjian itu juga, sebuah Makmal Kerjasama  UPM dan AHM akan diwujudkan di Fakulti Kejuruteraan, UPM bagi menjalankan aktiviti penyelidikan. 

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC), En Razman Shah Rajab dan Timbalan Ketua Pegawai Teknikal AMIC, Dr Liew Kan Ern. Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) adalah kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan antara Airbus Group, Rolls Royce, Composites Technology Research Malaysia (CTRM),  UPM, MIGHT dan MARA. - UPM

 

SXDcWAN~