UPM Anjur IENFORCE 2015 Bincang Kepentingan Bidang Forensik Alam Sekitar | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » UPM anjur iENFORCE 2015 bincang kepentingan bidang forensik alam sekitar

UPM anjur iENFORCE 2015 bincang kepentingan bidang forensik alam sekitar


Oleh    : Noor Eszereen Juferi
Foto    : Marina Ismail

PUTRAJAYA
– Fakulti Pengajian Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan persidangan antarabangsa International Conference in Environmental Forensic 2015 (iENFORCE 2015) bagi meningkatkan kepentingan bidang forensik alam sekitar, baru-baru ini.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata persidangan itu bertujuan  meningkatkan kepentingan bidang forensik alam sekitar dan memberi peluang kepada ahli akademik dan penggubal dasar untuk berkongsi pengetahuan berkaitan forensik alam sekitar.

“Bidang ini berkaitan dengan kajian serta penyiasatan saintifik berkaitan pencemaran udara, air, tanah dan biota bagi mengelakkan risiko pencemaran alam sekitar serta menyokong pihak berkuasa dalam meningkatkan pengurusan sumber asli dan persekitaran,” katanya semasa merasmikan persidangan iENFORCE 2015 di sini.



Lebih 100 kertas kerja dibentangkan pada persidangan itu yang dihadiri peserta dari 11 negara antaranya Ukraine, Mongolia, Indonesia, India dan Kuwait.

Pengerusi iENFORCE 2015 Dr. Mohd Yusoff Ishak berkata program itu merangkumi pembentangan kertas kerja dan perbincangan dalam sesi plenari, sesi poster serta sesi perbincangan panel dalam topik forensik alam sekitar.

“Kemunculan bidang alam sekitar forensik membolehkan ahli forensik alam sekitar mengenal pasti bahan kimia yang dibebaskan ke persekitaran menggunakan pendekatan terkini,” katanya.



Beliau berkata, persidangan itu disertai pakar terkenal dari Australia serta Jepun, dan turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM), ACP Hussein Omar Khan yang berkongsi pengalaman beliau sebagai salah seorang daripada penyiasat negara pertama yang tiba di lokasi tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang terhempas di Donetsk, Ukraine untuk mengecam mangsa nahas yang berlaku pada 17 Julai  2014.

Beliau yang juga merupakan Komander Disaster Victim Identification team atau dikenali sebagai D13 PDRM berkongsi informasi mengenai struktur pasukan DVI Malaysia, misi pemulihan, pusat ante mortem, protokol DVI dan cadangan penambahbaikan di masa depan.

Sementara itu, buat  julung kalinya, iENFORCE Innovation Challenge diperkenalkan sebagai platform untuk pelajar pra-universiti dan diploma dalam pelbagai bidang di Malaysia bagi berkongsi minat, idea dan kepakaran masing-masing dalam mencipta inovasi khususnya dalam topik yang berkaitan alam sekitar. - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEZOAJ~