| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM anjur platform jaringan untuk perkasa profesion kejuruteraan pertanian


Oleh: Mohd Hasrul Hamdan
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 23 Mac – Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Jaringan Industri Kejuruteraan Pertanian & Pelancaran Mercu Tanda Tapak Kelahiran Kejuruteraan Pertanian Di Malaysia  dalam memperkasakan profesion kejuruteraan pertanian negara.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata dengan adanya jaringan tersebut, bidang pertanian akan diperkasakan tatkala Fakulti Kejuruteraan, UPM menjadi tunjang utama melahirkan pakar UPM dalam bidang  pertanian kejuruteraan.

“Profesion kejuruteraan ini penting kerana profesion ini berperanan meningkatkan hasil pertanian dan produk, mencari penyelesaian dalam mengurangkan kos operasi pengeluaran, melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja serta melindungi alam sekitar bagi pertanian yang mapan,” katanya semasa merasmikan majlis berkenaan.


Ketua Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian, Fakulti Kejuruteraan UPM, Dr. Samsuzana Abd Aziz berkata, program itu bertujuan mewujudkan platform perkongsian dan jaringan dalam memperkasakan profesion tersebut untuk kesinambungan karier di masa depan.

Katanya, Fakulti Kejuruteraan, UPM menawarkan jurusan Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem (BKPB) untuk memperkasakan bidang pertanian bagi memperkasakan bidang pertanian serta memastikan kelestarian bekalan makanan terjamin bagi menjana pendapatan negara.

“Program BKPB diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Institut Jurutera Malaysia (IEM), Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), dan Washington Accord di peringkat antarabangsa. Graduan jurusan ini mendapat permintaan yang tinggi sepanjang masa,” katanya.

Hingga kini, sektor awam dan swasta yang mengambil lepasan graduan BKPB untuk bekerja termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Sime Darby dan Genting Plantation.

Selain itu, terdapat juga graduan bidang itu menceburi bidang keusahawanan dengan membuka syarikat reka bentuk kejuruteraan, fabrikasi serta membekal alatan kejuruteraan.



Sementara itu, pada program tersebut turut dilancarkan mercu tanda kejuruteraan pertanian di Malaysia yang lahir di Fakulti Kejuruteraan Pertanian iaitu simbolik kepada pembangunan bidang kejuruteraan pertanian di Malaysia. – UPM.

SXDdOAf~