| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM anjur program Motivasi Bulanan ‘Kehidupan Bersama Autisme’


Oleh: Yasmin Yusoff
Foto oleh: Marina Ismail

SERDANG, 24 Feb – Seksyen Bimbingan dan Kerjaya Staf (SBKS), Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Motivasi Bulanan ‘Kehidupan Bersama Autisme’ yang dihadiri 79 staf dari UPM.

Ketua Seksyen Bimbingan dan Kerjaya Staf, Pejabat Pendaftar, UPM, Rafidah Sadarudin berkata objektif program itu bertujuan memberi pendedahan kepada staf UPM mengenai ciri-ciri penghidap penyakit autisme.


“Program ini turut memberi peluang serta ruang kepada staf yang mempunyai anak autisme untuk berkongsi pengalaman mereka dan untuk mendapatkan informasi lanjut mengenai penyakit tersebut,” katanya.

Beliau berkata, program ‘Kehidupan Bersama Autisme’ itu secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat agar tidak mendiskriminasikan penghidap penyakit autisme.

“Penyakit autisme adalah penyakit neurologi yang mengakibatkan fungsi memproses maklumat di dalam otak seseorang terjejas, dan antara permasalahan yang berlaku ialah compulsive behaviour, sukar berkomunikasi serta tidak bersosial bersama orang lain dan permasalahan tingkah laku,” katanya.



Selain itu, sesi perkongsian disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Inggeris,  Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Dr. Che An Abdul Ghani, Timbalan Dekan (Siswazah & Antarabangsa) Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Kartini Ahmad dan penceramah bebas, Ku Yusoff Ismail.

Dr. Che An yang berpengalaman selama 26 tahun dalam membesarkan anak beliau, Yuri Azzari Yuri Zaharin yang menghidapi autisme berkata, sehingga kini anak beliau masih tidak boleh berkata-kata dan hidup dalam dunia sendiri.

“Walaupun Yuri Azzari begitu, saya menyedari anak saya mempunyai bakat melukis apabila pada usia tiga tahun, dia mula menconteng menggunakan pen atau pensel. Kemudian saya mengambil inisiatif mendorong beliau untuk terus mendalami bidang tersebut dengan mendapatkan bimbingan dari seorang pelukis tersohor Malaysia, Raja Azhar Raja Idris,” katanya.

Program motivasi bulanan Seksyen Bimbingan dan Kerjaya Staf, Pejabat Pendaftar, UPM itu bermula sejak tahun 2010 dan merupakan program secara berkala yang diadakan setiap bulan dengan kupasan topik yang berbeza.

Antara topik yang pernah dibincangkan ialah ‘Ibu Bapa Penyayang Anak Cemerlang’, ‘Teambuilding Gamification’, ‘Rindu Menanti Ramadan’, ‘Healthy Inside Beauty Outside’ dan ‘Psikodrama Andai Aku Bersuara’. Topik mengenai Pengurusan Kewangan akan diadakan  pada siri Motivasi Bulanan pada bulan Mac. - UPM


SXDdBAZ~