| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM anjur Program Sahur di Jalanan untuk Gelandangan di sekitar Kuala Lumpur

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Mohd Hasrul Hamdan



KUALA LUMPUR, 26 Julai (UPM) –  Persatuan Pentadbir Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kelab Sosial MarComm UPM serta dua NGO iaitu Geng Jurnal dan Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC) anjur Program Sahur di Jalanan untuk Gelandangan baru-baru ini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan memberi juadah sahur kepada mereka yang tinggal bergelandangan di sekitar Jejambat Jalan Sultan Sulaiman, Jejambat Jalan Kinabalu, Jejambat Jalan Tun Sambanthan, Jejambat Leboh Pasar Besar dan Jejambat Jalan Tun Perak.

Ketua program, Ludinata Misnun berkata seramai 30 sukarelawan telah mengedarkan sebanyak 500 bungkusan juadah sahur, pakaian serta barangan keperluan lain kepada gelandangan.



“Program ini turut mendapat peruntukkan sebanyak RM5,000 adalah hasil daripada sumbangan orang ramai,” katanya di sini.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk terus memberi kepada mereka yang tidak berkemampuan dan berharap program itu akan berterusan bukan sahaja di bulan Ramadan, malah di masa akan datang.

Sementara itu, pelajar Bacelor Kejuruteraan, Raja Muhammad Muzamir Raja Mahadi, 26,  berkata program itu wajar dilakukan serta memberikan beliau pendedahan mengenai realiti penghidupan golongan gelandangan.

“Sering kali pelajar tidak bersyukur dengan apa yang diperolehi sekarang, malah sebenarnya kita perolehi lebih daripada kita perlu. Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada diri saya mengenai kepayahan hidup dan bersyukur dengan apa saya ada,” katanya.

 



Rakannya, Mohd Adib Mohd Khalid, 26, pelajar Bacelor Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) UPM berkata  program tersebut adalah satu cara untuk menyelami kehidupan dari seseorang peminggir kota serta mengeratkan silaturahim antara siswa, pentadbiran universiti dan masyarakat.

“Program sebegini diharapkan berterusan bukan sahaja di sekitar Kuala Lumpur malah di diluaskan di kawasan lain agar bantuan disampaikan secara adil kepada pihak yang memerlukan,” katanya. -- UPM

nej/kgo


SXESVA5~