| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM catat prestasi cemerlang penilaian D-SETARA 2012


SERDANG, 30 Jan – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan prestasi cemerlang dalam Sistem Penarafan Disiplin Pengajian (D-SETARA) 2012 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi tiga kategori iaitu Kejuruteraan; Perubatan, Pergigian dan Farmasi; dan Sains Kesihatan.

Kategori Kejuruteraan mencatatkan keputusan yang membanggakan apabila UPM berjaya memperolehi Tier 5 (Cemerlang) dan tiada Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berjaya mencatatkan tahap tertinggi iaitu Tier 6 (Terbilang).

Kejayaan itu meletakkan UPM sebaris dengan sembilan IPT lain yang mendapat Tier 5.

UPM turut cemerlang dalam kategori Perubatan, Pergigian dan Farmasi dengan menyertai 11 IPT lain yang mendapat keputusan Tier 4 (Sangat Baik). Dalam kategori itu, Universiti Malaya (UM) mendapat keputusan tertinggi  dengan memperolehi Tier 5.

Kategori Sains Kesihatan pula memperlihatkan UPM dan lima IPT lain mencatat keputusan Tier 4. Sebanyak lima IPT lain pula mencatatkan Tier 5.

UPM tidak dinilai bagi kategori keempat iaitu Hospitaliti dan Pelancongan.

Sistem Penarafan Disiplin Pengajian atau D-SETARA merupakan sistem penarafan yang dilakukan oleh KPT dengan kerjasama MQA bagi mengukur kualiti pengajaran dan pembelajaran pada tahap enam Kerangka Kelayakan Malaysia (peringkat Ijazah Pertama) dalam disiplin tertentu di universiti dan kolej universiti di Malaysia.

Instrumen D-SETARA meliputi tiga domain generik iaitu input, proses dan output untuk menilai kualiti pengajaran dan pembelajaran. Klasifikasi penarafan dibahagikan kepada enam tahap dengan Tier 6 sebagai tahap tertinggi (Terbilang) dan Tier 1 sebagai paling rendah (Lemah).

Berita ini disediakan oleh Muhamad Najkhan Mazlan, 03-8946 6011


SXDdDAZ~