UPM Dan 2 Universiti Pertanian Ternama Thailand Menawarkan Program Dwi Ijazah | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » UPM dan 2 Universiti Pertanian Ternama Thailand Menawarkan Program Dwi Ijazah

UPM dan 2 Universiti Pertanian Ternama Thailand Menawarkan Program Dwi Ijazah

UPM dan 2 Universiti Pertanian Ternama Thailand Menawarkan Ijazah Berkembar

5 Februari 2015 – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan dua universiti ternama di Thailand iaitu Kasetsart University dan Maejo University semasa lawatan Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Mohd. Fauzi Ramlan ke beberapa buah universiti di Thailand pada 2-5 Februari 2015 yang lalu. Memorandum Perjanjian yang ditandatangani membolehkan UPM dan kedua-dua universiti berkenaan bekerjasama menawarkan program dwi-ijazah (Dual Degree) di peringkat siswazah.

Kasetsart University yang juga merupakan universiti ke-5 terbaik di Thailand telah bersetuju untuk bekerjasama dengan UPM menawarkan program dwi ijazah di peringkat Master dan PhD dalam pelbagai bidang terutamanya bidang berasaskan pertanian, sains makanan, perhutanan, agro industri, ekonomi dan pelbagai lagi. Manakala Maejo University pula bersetuju bekerjasama dengan UPM menawarkan program dwi ijazah di peringkat PhD sahaja dalam bidang berkaitan pertanian, sains dan teknologi makanan dan kejuruteraan makanan.

Menurut Naib Canselor, program yang ditawarkan akan membolehkan pelajar yang terlibat mendapat dua sijil ijazah dari kedua-dua universiti apabila tamat pengajian. Ianya juga akan membuka peluang kepada mereka untuk menambah pengalaman dan memperluas jaringan melalui kerjasama penyelidikan yang akan dilaksanakan oleh kedua-dua universiti sekaligus menjadikan mereka lebih terkehadapan di dalam pasaran pekerjaan. Program ini juga memberikan keistimewaan kepada pelajar warga Malaysia dan Thailand kerana kedua-dua universiti telah bersetuju untuk mengenakan kadar yuran pelajar tempatan kepada pelajar yang mengikuti program ini.

Dengan termetrainya perjanjian berkenaan, kini bilangan Program Kerjasama Antarabangsa UPM (UPM-ICP) meningkat kepada 14 program melibatkan 11 buah universiti terkemuka dunia iaitu University of Sheffield, University of Glasgow, University of Nottingham, Ajou University, Kyushu Institute of Technology, University of Newcastle Australia, University of Southern Queensland, Naresuan University dan South Kazakhstan State University.

Selain lawatan ke Kasetsart University dan Maejo University, delegasi UPM turut membuat lawatan ke Mahidol University dan Chulalongkorn University bagi meneroka pelbagai peluang kerjasama seperti pertukaran staf, program mobiliti pelajar (inbound dan outbound) dan kerjasama menawarkan program dwi ijazah (dual degree).


Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Fauzi Hj. Ramlan dan Vice President Kasetsart University, Associate Professor Dr. Bordin Rassameethes serta wakil kedua-dua universiti semasa sesi pertukaran dokumen perjanjian


Di Maejo Universiti: Dari kiri Prof. Dr. Hasanah Mohd,. Ghazali, Prof. Dr. Bujang Kim Huat, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Fauzi Hj. Ramlan (Naib Canselor UPM),  Asst. Prof. Dr. Chamnian Yosraj ( President, Maejo University), Asst. Prof. Dr. Yongyooth Srigiofun, d


Tarikh Input: | Kemaskini: | nuralifah

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEZUAf~