UPM Dan Dua Universiti Pertanian Thailand Tawar Ijazah Berkembar | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » UPM dan dua universiti pertanian Thailand tawar Ijazah Berkembar

UPM dan dua universiti pertanian Thailand tawar Ijazah Berkembar

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Fauzi  Ramlan dan Naib Presiden Kasetsart University,  Professor Madya Dr.Bordin Rassameethes serta wakil kedua-dua universiti semasa sesi pertukaran dokumen perjanjian.


BANGKOK, 5 Februari 2015 (UPM) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan dua universiti ternama di Thailand - Kasetsart University dan Maejo University -  semasa lawatan Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Mohd. Fauzi Ramlan ke beberapa buah universiti di Thailand pada 2-5 Februari 2015 lalu.

Memorandum Perjanjian itu membolehkan UPM dan kedua-dua universiti berkenaan bekerjasama menawarkan program dwi-ijazah (Dual Degree) di peringkat siswazah.

Pada majlis itu Kasetsart University diwakili Naib Presiden (Kampus Sriracha) Profesor Madya, Dr. Bordin Rassameethes manakala Maejo University diwakili President Maejo University, Profesor Madya Dr. Chamnian Yosraj.

Kasetsart University yang merupakan universiti kelima terbaik di Thailand bersetuju untuk bekerjasama dengan UPM menawarkan program dwi-ijazah di peringkat Master dan PhD dalam pelbagai bidang terutamanya bidang berasaskan pertanian, sains makanan, perhutanan, agro industri dan ekonomi.


Di Maejo Universiti: Dari kiri Prof.Dr.Hasanah Mohd,.Ghazali, Prof.Dr. Bujang Kim Huat, Prof.Dato’ Dr. Mohd.Fauzi Ramlan, Profesor Madya Dr. Chamnian Yosraj (Presiden, Maejo University), Prof Madya Dr. Yongyooth Srigiofun, dan Prof.Madya Dr. Jatuphong V


Maejo University pula bersetuju bekerjasama dengan UPM menawarkan program dwi-ijazah di peringkat PhD sahaja dalam bidang berkaitan pertanian, sains dan teknologi makanan dan kejuruteraan makanan.

Menurut Prof. Dato’ Dr Mohd Fauzi, program yang ditawarkan akan membolehkan pelajar yang terlibat mendapat dua sijil ijazah dari kedua-dua universiti apabila tamat pengajian.

Ia juga akan membuka peluang kepada mereka untuk menambah pengalaman dan memperluas jaringan melalui kerjasama penyelidikan yang akan dilaksanakan oleh kedua-dua universiti sekali gus menjadikan mereka lebih terkehadapan di dalam pasaran pekerjaan. Program ini juga memberikan keistimewaan kepada pelajar Malaysia dan Thailand kerana kedua-dua universiti bersetuju untuk mengenakan kadar yuran pelajar tempatan kepada pelajar yang mengikuti program ini.

 Profesor Madya, Dr. Bordin berharap program itu akan berjaya dan setiap fakulti dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Profesor Madya Dr. Chamnian pula berkata perjanjian itu memperkukuhkan lagi hubungan Maejo University dengan UPM, sambil berharap pelbagai kerjasama lain akan dapat dilaksanakan pada masa hadapan.

Dengan termeterainya perjanjian berkenaan, kini bilangan Program Kerjasama Antarabangsa UPM (UPM-ICP) meningkat kepada 14 program melibatkan 11 buah universiti terkemuka dunia iaitu University of Sheffield, University of Glasgow, University of Nottingham, Ajou University, Kyushu Institute of Technology, University of Newcastle Australia, University of Southern Queensland, Naresuan University dan South Kazakhstan State University.

Selain lawatan itu, delegasi UPM turut mengadakan lawatan ke Mahidol University dan Chulalongkorn University bagi meneroka pelbagai peluang kerjasama seperti pertukaran staf, program mobiliti pelajar (inbound adan outbound) dan kerjasama menawarkan program dwi-ijazah (dual degree).


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEaFAI~