| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM duduki tempat keempat Perarakan Maulidur Rasul Selangor


Oleh: Azman Zakaria
Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 20 Jan: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menduduki tempat keempat terbaik perarakan kategori Institut Pengajian Tinggi Awam/ Institusi Pengajian Tinggi Swasta/ Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)/ Masjid pada majlis sambutan Maulidur Rasul 2015 peringkat negeri Selangor, baru-baru ini. Ia adalah penyertaan sulung kontinjen UPM dalam perarakan sempena Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor itu yang diadakan pada 24 Disember lalu.

Perarakan bermula dari Stadium Mini dan berakhir di Stadium Malawati, Seksyen 13, Shah Alam. Sebanyak 92 kontinjen menyertai perarakan. Kontinjen UPM yang terdiri daripada 44 orang di kalangan staf UPM dan pelajar serta ahli qariah Serdang diketuai Pengarah Pusat Islam UPM, Dr Razali Othman.

“Penyertaan ini adalah atas jemputan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kami mahu sama-sama memeriahkan sambutan Maulidul Rasul dan sama sekali tidak menjangka boleh menduduki tempat keempat terbaik perarakan.

“Kami bersyukur, tetapi yang lebih penting adalah kesatuan… bukan proses yang mudah menghimpunkan staf dan pelajar dari pelbagai fakulti serta ahli qariah,” kata Dr Razali. Katanya, ahli kontinjen memberi kerjasama baik dalam menyediakan sepanduk untuk perarakan serta turun berlatih berkawad selama dua hari di bawah tunjuk ajar staf perpustakaan, Azhar Abdul Rahman yang juga seorang daripada ahli kontinjen perarakan UPM. Kontinjen UPM menerima trofi, wang tunai RM700 dan sijil. – UPM

SXETLA1~