UPM Iktiraf 15 Staf Akademik Cemerlang Dalam MGAP | SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
» BERITA » UPM iktiraf 15 staf akademik cemerlang dalam MGAP

UPM iktiraf 15 staf akademik cemerlang dalam MGAP

Tiga penerima Anugerah Khas Naib Canselor, dua dari kiri Prof. Madya Dr. Zeenathul Nazariah Allaudin, Prof. Dr. Fatimah Mohamed Arshad, Prof. Dato’ Dr. Yaakob Che Man, bersama Baginda Sultan


SERDANG, 23 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi pengiktirafan kepada 15 staf akademiknya yang cemerlang dalam perkhidmatan pengajaran, penyelidikan dan inovasi serta perkhidmatan profesional pada Majlis Gemilang Akademia Putra (MGAP) 2011.

Kesemua 15 pemenang menerima anugerah yang dikenali dengan nama baru iaitu Anugerah Fellowship Naib Canselor daripada Sultan Selangor merangkap Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis itu di sini.

Pada tahun ini terdapat anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Perkhidmatan Profesional, Penerbitan Buku, Penerbitan Makalah Jurnal dan Seni dan Kreativiti supaya UPM boleh mengenal pasti calon untuk Anugerah Akademik Negara.



Kesemua 15 penerima Anugerah Fellowship Naib Canselor


Sultan Selangor merangkap Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kecemerlangan warga UPM itu wajar diteruskan pada masa akan datang dengan menampilkan hasil berimpak yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan negara.

“Pensyarah atau pentadbir universiti perlu menjadi contoh yang diteladani oleh masyarakat kepada peningkatan kualiti hidup cemerlang dalam aspek pembelajaran dan penyelidikan untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara,” titah baginda.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi dalam ucapan menjunjung kasih berkata pengiktirafan itu diharap memberi semangat kepada staf akademik untuk meningkatkan kualiti sumbangan kepada universiti menerusi aktiviti pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional.

“Universiti menggalakkan ahli akademik dan profesionalnya menyumbang sesuatu kepada negara, komuniti dan sektor industri,” katanya mengenai MGAP kali ketiga yang merupakan majlis anugerah tahunan universiti sejak tahun 2009.


Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan Anugerah Khas Naib Canselor kepada Prof. Dato’ Dr. Yaakob Che Man


Beliau berkata majlis anugerah itu diiktiraf sebagai anugerah tertinggi di UPM dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional serta menggabungkan pelbagai anugerah yang sebelumnya dibuat berasingan untuk penjimatan kos.

Dato’ Ir. Dr. Radin Umar berkata program itu akan menjadi warisan yang mengiktiraf usaha penerokaan dan pengembangan ilmu serta perkhidmatan pendidikan kerana MGAP membentuk citra dan menjulang budaya ilmu yang cemerlang.

“Kecemerlangan komuniti UPM ini memberikan impak yang besar kepada pembangunan modal insan dan juga kemajuan ekonomi negara. Majlis ini juga merupakan satu wahana untuk mengenal pasti calon Anugerah Akademik Negara (AAN) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada setiap tahun.,” katanya.

Daripada 15 penerima itu, 3 mendapat anugerah tertinggi keseluruhan iaitu Anugerah Khas Naib Canselor yang dianugerahkan  kepada Prof. Madya Dr. Zeenathul Nazariah Allaudin dari Fakulti Perubatan Veterinar (Kategori Pengajaran, kluster Sains Tulen dan Kesihatan), Prof. Dato’ Dr. Yaakob Che Man dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (Kategori Penyelidikan, kluster Sains dan Teknologi Makanan) dan Prof. Dr. Fatimah Mohamed Arshad dari Institut Kajian dasar Pertanian dan Makanan (kategori Perkhidmatan Profesional).

Bagi kategori Pengajar Cemerlang, penerimanya ialah Prof. Madya Dr. Zanariah Abd Majid dari Fakulti Sains (kluster Sains Tulen dan Kesihatan),  Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrim Abdul Karim dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (kluster Sains Sosial, Sastera, Sains Sosial Gunaan dan Sastera Gunaan) dan  Dr. Kamziah Abd. Kudus dari Fakulti Perhutanan (kluster Sains Gunaan dan Kejuruteraan). Masing-masing menerima geran fellowship bernilai RM10,000, sijil dan trofi.

Bagi kategori Pengajar Muda, penerimanya ialah Prof. Madya Dr. Zeenathul Nazariah Allaudin dari Fakulti Perubatan Veterinar (kluster Sains Tulen dan Kesihatan), Prof. Madya Dr. Ahmed Osmanu Haruna dari Fakulti Sains Pertanian dan Makanan (kluster Sains Gunaan dan Kejuruteraan). Masing-masing menerima geran fellowship bernilai RM7,000, sijil dan trofi.

Bagi kategori Penyelidik Cemerlang, penerimanya ialah Prof. Dato’ Dr. Yaakob Che Man dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (kluster Sains dan Teknologi Makanan), Prof. Dr. Mohd Shahwahid Othman dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (kluster Sains Sosial dan Kemanusiaan). Masing-masing menerima geran fellowship bernilai RM10,000, sijil dan trofi.

Bagi kategori Penyelidik Muda dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Mohd Zainal Abidin Ab Kadir dari Fakulti Kejuruteraan (kluster  Sains dan Teknologi) dan Dr. Hanina Halimatusaadiah Hamsan dari Fakulti Ekologi Manusia (kluster Sains Sosial dan Kemanusiaan). Masing-masing menerima geran fellowship bernilai RM7,000, sijil dan trofi.

Bagi kategori Penerbitan Makalah Jurnal dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Hawa Ze Jaafar dari Fakulti Pertanian (kluster  Sains dan Teknologi) dan Dr. Roziah Mohd Rasdi dari Fakulti Pengajian Pendidikan (kluster Sains Sosial dan Kemanusiaan). Penerima  kategori Penerbitan Buku ialah Prof. Dr. Hashim Musa dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dengan judul buku ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’. Bagi kategori Seni dan Kreativiti dimenangi oleh Dr. Yeoh Pei Sze dari Fakulti Ekologi Manusia.  Masing-masing menerima geran fellowship bernilai RM5,000, sijil dan trofi.

Penerima kategori Perkhidmatan Profesional ialah Prof. Dr. Fatimah Mohamed Arshad dari Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (kumpulan  Pengurusan dan Profesional Akademik) dan Dr. Hanafiah Ayub dari Pusat Sukan (kumpulan  Pengurusan dan Profesional Bukan Akademik). Masing-masing menerima geran fellowship bernilai RM10,000, sijil dan trofi.

Pencapaian penerima Anugerah Khas Naib Canselor(anugerah tertinggi keseluruhan) 

  • Prof. Dato’ Dr. Yaakob Che Man

Beliau ialah Saintis Halal Malaysia telah menghasilkan produk HAFYS atau Halal Verification System untuk mengesan kehadiran unsur-unsur haram terutamanya melalui lemak, protin, metabolit, DNA dan alkohol dalam produk halal. Produk ini dikelaskan sebagai ‘break-through’ dan dipatenkan di Malaysia dan 22 negara lain termasuk USA dan Eropah. Inovasi ini telah memenangi banyak anugerah di dalam dan luar negara termasuk Anugerah Harta Intelek Negara, EUREKA, Anugerah Inovasi Islam dan Anugerah Khas Bioinno.

Beliau juga merupakan Pengasas dan Pengarah pertama Institut Penyelidikan Produk Halal UPM dan telah mendapat pengikitrafan Anugerah Saintis Halal Kebangsaan, Anugerah Harta Intelek Negara, Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan, Anugerah Khas Inovasi Islam, penerima anugerah “Khwarizmi International Award’ daripada Iranian Research Organization dalam bidang Sains danTeknologi, MSTF TORAY Science and Technology Award  dan tersenarai sebagai ‘Top 10 Scientists’ di Malaysia oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, ‘Top 5 Scientists and Engineers in OIC’ dari Malaysia, Geneva-Palexpo Award, Anugerah Melayu Cemerlang, Anugerah Perunding Cemerlang dan Eureka Award Brussels.

  • Prof. Madya Dr. Zeenathul Nazariah Allaudin

Beliau merupakan pakar dalam bidang molekular biologi dan virologi dipilih kerana menggalakkan pelajar menerokai ilmu melalui  pembelajaran  kendiri untuk  mengukuhkan pemahaman.  Dengan falsafah pengajarannya ‘Be Champions To Make Learning A Wonderful Experience’, pelajar  difahamkan tujuan pembelajaran, bagaimana dapat mencapainya dan bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri.

Sejumlah 15 kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar (SCL)  diapplikasikan. Beliau menggunakan aktiviti debat antara ahli dalam kumpulan lain  untuk mengasah pemikiran kritikal dalam pelajar. Sentiasa menekan konsep “tiada jawapan yang salah dan setiap yang kurang  boleh diperbaiki”, pelajar berani dan secara sukarelanya teruja untuk berkongsi pendapat serta berminat menyertai segala aktiviti  dalam kelas.

Antara bidang penyelidikan yang beliau terokai merangkumi penghasilan vaksin virus rekombinan, vaksin kanser dan terapi gen serta pembentukan cip diagnostik penyakit.

  • Prof. Dr. Fatimah Mohamed Arshad

Hasil pemikiran beliau telah membentuk Polisi Negara yang telah mengubah senario dan pendekatan strategik mengenai polisi pertanian negara. Berdasarkan kepada dapatan kajian beliau, kerajaan telah menerima dan melaksanakan beberapa polisi yang membawa kepada perubahan dan penambahbaikan seperti menamatkan polisi mencapai “lebihan imbangan perdagangan makanan” dan mencadangkan supaya berfokus kepada “pertumbuhan”;

Selain itu, kepakaran dan pengalamannya membuatkan beliau tidak bergantung kepada UPM untuk dana penyelidikan. Lebih daripada tiga per empat dana yang diperolehinya adalah daripada agensi awam tempatan dan antarabangsa.

Pencapaian penerima lain

  • Prof. Madya Dr. Zanariah Abd Majid

Pakar matematik dalam analisis berangka dan pengaturcaraan selari. Pernah  menerima Anugerah Pensyarah Pilihan peringkat Fakulti Sains dan Anugerah Khidmat Cemerlang dan Anugerah Pengajaran Cemerlang peringkat Fakulti. Beliau menerapkan amalan inovasi di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan perkembangan intelek dan kemahiran berfikir pelajar. Beliau telah memperolehi peratus penggunaan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (SCL) yang tinggi dalam penilaian pengajaran.

  • Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrim Abdul Karim

Pakar kulinari, perkhidmatan makanan, makanan dan kebudayaan serta gelagat pelanggan. Daya usahanya memastikan pelajar membuat sesuatu dengan kesempurnaan dan hasil yang terbaik untuk mendapatkan kepuasan pelanggan dan mereka sendiri. Dengan pengalaman industrinya, beliau  merealisasikan kepada pelajar apa yang dipraktikan di dalam industri makanan.

Menekankan pelajar agar  befikir  “out of the box”  dan harus punyai jati diri yang tinggi dan pemikiran kreatif untuk pergi jauh di dalam kerjaya yang akan mereka tempuhi kelak.

  • Dr. Kamziah Abd. Kudus

Pakar Biometrik Hutan dan Permodelan Statistik Dalam Perhutanan. Beliau  menekankan elemen inovasi dan kreativiti dengan mengaitkan pengalaman penyelidikan dan kerja perundingan ke dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelajarnya berpeluang untuk mengaplikasi pengetahuan di dalam kursus lain untuk melihat hasil pengajaran dan pembelajaran secara keseluruhan. Beliau sentiasa mendapat skor yang tinggi melalui penilaian pengajaran oleh pelajar sehingga kini dan pernah meraih Anugerah Pensyarah Pilihan 2011. Pelajar juga dikehendaki membuat analisa, laporan dan persembahan ke atas data inventori yang di kumpulkan. Sentiasa membentuk pelajar mempunyai tahap keyakinan yang tinggi untuk bersaing menghadapi cabaran selepas tamat pengajian kelak. Pernah meraih Anugerah Pensyarah Pilihan 2011.

  • Prof. Madya Dr. Ahmed Osumanu Haruna

Beliau merupakan kelahiran Ghana dan pernah meraih anugerah Pensyarah Cemerlang UPM 2011. Beliau menekankan inovasi dalam pembelajaran berasaskan pelajar seperti ice-breaking, stimulasi, pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, lawatan lapangan, eksperimen, persidangan dan pameran dalam pengajaran.

Pakar dalam bidang pengurusan tanah ini telah melatih pelajar-pelajar mendapat pekerjaan dalam kedua-dua organisasi awam dan swasta, memenangi anugerah nasional dan antarabangsa, menerbitkan pelbagai kertas penyelidikan dalam jurnal ternama dan kerja-kerja penyelidikan pelajarnya telah dipatenkan.

  • Prof. Madya Dr Hawa ZE Jaafar

Kajian beliau dalam bidang Persekitaran Fisiologi Tumbuhan terutama mengenai impak persekitaran ke atas pertumbuhan dan kualiti (bioaktiviti) tumbuhan/tanaman. Beliau adalah pelopor kepada teknologi perkaryaan karbon dioksida pada tanaman herba di Malaysia.

Hasil dari penyelidikan terkini, makalahnya bertajuk HPLC and GC-MS Determination of Bioactive Compounds in Microwave Obtained Extracts of Three Varieties of Labisia pumila Benth diterbitkan dalam jurnal antarabangsa berimpak tinggi.

Penyelidikan ini telah berjaya membangunkan satu protokol dan teknik novel pengekstrakan dalam tiga varieti Kacip Fatimah di Malaysia untuk menentukan aktiviti biologi serta kesan perubatan dalam tumbuhan. Beliau membangunkan produk herba/asli bermutu tinggi, berkesan dan selamat digunakan dengan harga lebih murah melalui keupayaan pengesanan bahan fitokimia dan lain-lain kompaund bioaktif berpotensi.

  • Dr. Hanina Halimatusaadiah Hamsan

Pakar dalam bidang Psikologi Komuniti dan aktif memberikan khidmat perundingan dengan agensi kerajaan dan swasta dalam pembentukan garis Panduan Integriti Akademik, penilaian Dasar Pembangunan Belia Malaysia, pembangunan komuniti Orang Asli, Audit Integriti Staf Kementerian Pengajian Tinggi 2011-2015, Pakar Rujuk Gejala Sosial Belia Malaysia serta perunding Kesihatan Reproduktif dan Seksual Remaja Semenanjung Malaysia. Turut menghasilkan buku berjudul ‘Belia Berisiko’.

  • Dr Yeoh Pei Sze

Di samping karier sebagai seorang pensyarah, beliau aktif membuat persembahan biola, menjalankan penyelidikan muzik dan menerbitkan album sendiri berjudul ‘Pulse of the Metropolis’. Pernah membuat persembahan seperti Asian Youth Orchestra, Jacky Cheung Music Odyssey Tour, David Tao Soul Power Tour dan Alan Tam  Concert Live in Malaysia.

Pemeriksa luar dan wakil tunggal dari Asia yang terlibat di dalam panel antarabangsa Trinity Guildhall London. Pernah dianugerahkan The Outstanding Young Malaysian Award 2004, Martell’s Personality Award 2008 dan Marquis’s Who’s Who in the World 2012.

  • Dr. Roziah Mohd. Rasdi

Makalah beliau bertajuk Predicting Malaysian Managers’ Objective and Subjective Career Success telah diterbitkan dalam jurnal The International Journal of Human Resource Management, Volume 22 (17). Makalah ini yang pertama memaparkan faktor kejayaan kerjaya pengurus sektor awam di Malaysia khususnya Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang mana hasil kajian ini boleh dijadikan penanda aras dalam pembangunan kerjaya pengurus sektor awam dalam merealisasi Program Transformasi Ekonomi Malaysia ke arah pencapaian Model Baharu Ekonomi menjelang 2020.

Kajiannya mendapat anugerah The Best Paper Award di The 8th International Conference of the Academy of Human Resource Development (Asia Chapter), dan Award for Highly Commended Paper di The 12th International Conference on Human Resource Development, Research and Practice across Europe.

  • Professor Dr. Hashim Musa

 Profesor Linguistik Melayu ini menerima anugerah Fulbright Malaysian Islamic Scholar Award di University of California Berkeley dan Temple University Pennslyvania U.S.A dan telah menghasilkan 32 buku akademik dan lebih daripada 100 artikel dan kertas kerja ilmiah bahasa, sastera, peradaban, falsafah, pemikiran, epigrafi, sejarah dan filologi. Pernah memenangi empat pingat perak di International Expo INPEX Pittsburg USA (2010), PECIPTA (2009, 2010) dan pingat gangsa di MTE (2011).  

Sinopsis Buku

KITAB PENGETAHUAN BAHASA ialah karya kedua tentang bahasa Melayu oleh budayawan, ilmuwan, ulama, negarwan dan karyawan Melayu yang paling prolifik  dalam abad ke-19, iaitu Raja Ali Haji bin Raja Ahmad (1808/9 – 1872) dari Johor-Riau. Buku ini terdiri daripada 466 halaman dalam tulisan Jawi, mengandungi tiga bab. Kitab Pengetahuan Bahasa tertulis 1858 dan dicetak batu 1927, ialah sebuah kamus-ensiklopedia ekabahasa yang pertama ditulis oleh seorang Melayu untuk kegunaan komuniti pelajar, penulis dan bijak pandai Melayu yang pada masa itu masih sedikit dan sedang dibangunkan. Karya ini telah terpilih sebagai satu daripada Karya Agung Dunia Melayu (Great Works in the Malay World).

  • Prof. Dr. Mohd Shahwahid Othman

Pakar penilaian ekonomi ke atas sumber alam sekitar dan ahli ekonomi hutan dan industri berasaskan kayu. Pada tahun 1997 beliau terlibat di dalam penyelidikan anjuran Economics and Environment Program for South East Asia mengenai Kos Ekonomi dari Impak Pembakaran Hutan dan Jerebu ke atas Indonesia, Malaysia dan Singapura. Dijemput oleh WWF UK dan Asia Pacific melaksanakan penyelidikan di Apia, untuk Jabatan Konservasi Tanah dan Alam Sekitar, Kerajaan Samoa. Beliau juga dijemput oleh WWF Vietnam untuk menyelidik mengenai peluang mengwujudkan dana pemeliharaan sumber alam di Vietnam Tengah untuk Jabatan Pemelihara Hutan Kerajaan Vietnam.

Turut dijemput oleh Global Canopy Programme, Oxford untuk melaksanakan penyelidikan nilai ekonomi hutan tropika yang dibentangkan di seminar mengiringi UNFCC di Bali. Pada 2011, Kementerian Sumber dan Alam Sekitar, Malaysia telah menjemput beliau mewakili kementerian membentangkan kertas kerja mengenai Amalan Instrumen Ekonomi dalam Pemeliharaan Sumber Alam di Seminar anjuran SEARCA/EEPSEA di Bali.

Beliau merupakan Ketua Sub-Kluster Instrumen Ekonomi dalam Kluster Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara. Beliau telah didaftarkan sebagai Spesialis Bidang Sosial Impak Assessment dan Economic Analysis and Valuation di Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan kerap dijemput oleh jabatan ini sebagai kumpulan pakar dalam panel teknikal menilai Laporan Terperinci Kesan Impak Alam Sekitar projek-projek pembangunan.

  • Prof. Madya Dr. Mohd Zainal Abidin Ab Kadir

Beliau merupakan seorang Chartered Engineer dari Engineering Council UK. Ahli Pakar bagi Kumpulan Teknikal Antarabangsa di dalam Perlindungan Kilat dan Ahli Penasihat bagi National Lightning Safety Institute (NLSI), USA. Antara sumbangan terbesar beliau kepada Negara dan Antarabangsa ialah dalam membantu pihak Suruhanjaya Tenaga Malaysia mengeluarkan pekeliling berkaitan perlindungan kilat dan juga menghasilkan buku panduan perlindungan kilat yang menjadi rujukan para Jurutera, Konsultan dan pertubuhan lain dari dalam dan luar negara.

  • Dr. Hanafiah Ayub

Kepakaran beliau adalah dalam aspek pemindahan pembelajaran, program latihan dan pembangunan sukan. Usaha beliau membimbing atlet bejaya membawa pasukan UPM menjuarai Sirkit Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dalam acara sepak takraw selama tujuh tahun berturut-turut iaitu dari tahun 2002 hingga 2008. beliau berjaya membawa UPM menjadi Naib Johan acara Sepaktakraw dalam Kejohanan Antarabangsa di Darwin Australia pada 2007.

Di kejohanan Universiti Dunia 2008 di Taiwan, beliau telah menjadi Pengurus Pasukan Malaysia dan pasukan di bawah pimpinan beliau telah memperoleh pingat Perak dalam acara Memanah Campuran. Beliau juga terlibat dalam membangunkan perisian Memanah untuk Kejohanan Sukan Universiti ASEAN 2008. Beliau juga terlibat dengan pembangunan polisi antaranya pembangunan Dasar Sukan IPT dan Dasar Industri Sukan. Beliau juga terlibat dalam program khas Kementerian Pengajian Tinggi iaitu Program Pusat Kecemerlangan Sukan Ragbi dan Program SukanTumpuan Memanah.

Berita oleh Khairul Anuar Muhamad Noh, untuk maklumat lanjut hubungi 03-89467469.

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4225
-
SXEUQA1~