| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM lancar e-mel rasmi baharu pelajar

Oleh Azman Zakaria


SERDANG, 2 Sept - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan e-mel rasmi baharu pelajar UPM @student.upm.edu.my sebagai saluran bagi penyampaian maklumat dan informasi yang disahkan dapat disebar luaskan kepada pelajar dengan lebih cepat.

Ia dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Dato’ Razali Ibrahim sempena Minggu Perkasa Putra Sesi 2015/2016 di Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

Perkhidmatan itu selaras dengan pelaksanaan UPM-ID dalam mewujudkan sistem penyampaian yang berintegriti dan tepat kepada pelajar.

Kaedah yang mementingkan prinsip kerahsiaan, integriti dan kebolehan itu sesuai dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kaedah penyampaian agar maklumat yang lebih tepat dapat diterima oleh semua.

Naib Canselor UPM, Prof Dato’ Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, penggunaan nama domain UPM.EDU.MY akan dapat memastikan pengenalan pelajar universiti boleh digunakan semasa berinteraksi dengan masyarakat seluruh dunia, seperti urusan pembelian di internet yang membolehkan pelajar mendapat diskaun tertentu.

Katanya, dengan adanya kemudahan e-mel yang lebih efisyen itu, saluran bagi penyampaian maklumat dan informasi yang disahkan dapat disebar luaskan kepada pelajar dengan lebih cepat.

“Keutamaan kesahihan dan kebenaran fakta ini penting agar ia tidak memberi kesan negatif seperti yang berlaku mutakhir ini,” katanya.

Inisiatif itu dibangunkan oleh Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) menggunakan perkhidmatan outsource Gmail yang dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan e-mel kepada pelajar daripada segi kestabilan sistem, di samping infrastruktur terkini yang dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih stabil.

Gmail juga menjamin faktor ketersediaan untuk pengguna dan capaian lebih dinamik.

Dengan pertambahan kapasiti storan kepada tanpa had (unlimited storage), kemudahan itu memberi perbezaan tambahan yang besar kepada pelajar, selain trend semasa yang meningkatkan jangkaan pengguna e-mel pelajar UPM kepada aplikasi setaraf yang terdapat di pasaran.

Apa yang menarik  ialah dengan kemudahan e-mel baharu ini, pelajar boleh memilih nama alternative (alias) bagi akaun e-mel masing-masing.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Dr Mohammad Shatar Sabran serta Timbalan Pengarah iDEC, Rosmi Othman. – UPM


SXDdBAN~