| SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH

UPM lancar enam buku khas untuk pembangunan keusahawanan pelajar

Oleh Noor Eszereen Juferi
Foto Muhamad Izrul Abd Jabar



SERDANG, 2 Okt (UPM) –  Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan enam buku Enterprising School untuk pembangunan serta bimbingan keusahawanan bagi menyuntik  minat pelajar di kampus untuk terlibat dalam perniagaan.

Buku berbentuk ‘Popular Books’ ini adalah berkenaan pembangunan keusahawanan serta boleh digunakan sebagai bimbingan oleh graduan yang memilih untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan memilih menjadi majikan daripada menjadi pekerja.

Buku berbahasa Inggeris yang ditulis oleh tenaga pengajar UPM telah dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UPM Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran pada 6 September lalu semasa Forum Transformasi Minda Keusahwanan Siswa di sini.

Buku dalam format modul pengajaran bertajuk Business Branding, Customer Service Management, Financial Information and Management, Human Resource Management, International Business dan Essence of Marketing.



Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), UPM, Prof. Madya Dr. Zulhamri Abdullah berkata buku yang dihasilkan oleh tenaga pengajar UPM bertujuan untuk pembangunan keusahawanan pelajar dalam kampus untuk lebih efisien.

“Pelajar dapat mengaplikasikan modul yang telah dipelajari setelah bergraduat untuk menjadi seorang usahawan bagi meningkatkan keberkesanan pendidikan keusahawanan di peringkat IPT,” katanya selepas Forum Transformasi Minda Usahawan Siswa di sini.

Tambah beliau, buku tersebut boleh dijadikan rujukan oleh pelajar untuk memahami dunia perniagaan sebenar serta menjadi bimbingan khas untuk pelajar melihat impak kerjaya keusahawanan  dengan lebih tinggi.

“Pembangunan perniagaan pelajar berorientasikan pelajar mampu pertahankan perniagaan dengan business coaching untuk menjadi usahawan yang berjaya,” katanya.

Selain itu, Prof. Dr Mohammad Shatar turut melancarkan Kelab Kerjaya untuk memastikan ‘Jobs in Campus’ dikendalikan oleh pelajar untuk pelajar. Kelab tersebut akan mendedahkan para pelajar dengan info kerjaya yang terkini. 



UPM turut memberi pendedahan perniagaan secara hands on yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar UPM sendiri di Putra Business Shop yang ditempatkan di CEM dan Putra Niaga di 17 kolej kediaman pelajar.

Sementara itu, Forum Transformasi Minda Usahawan Siswa membincangkan mengenai bidang keusahawanan di dalam kampus kepada pelajar baharu UPM Sesi 2013/2014 serta panel yang hadir iaitu Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Dr. Syahira Hamidon dan Ikon Keusahawanan UPM, Sabri Salleh.

Enam buku Enterprising School

  •  “Business Branding” - meningkatkan pengetahuan mengenai penjenamaan produk di dalam sebuah perniagaan.
  • “Customer Service Management” - menerangkan kepentingan pengurusan perkhidmatan pelanggan dalam organisasi.
  • “Financial Information and Management” - menerangkan pengurusan kewangan mengikut dokumen sumber yang betul.
  • “Human Resource Management” - meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan pengurusan sumber manusia dalam perniagaan.
  • “International Business” - memberi maklumat dan strategi mengenai mencari pasaran antarabangsa yang berpotensi.
  • “Essence of Marketing” - memberi pemahaman mengenai kepentingan pemasaran dan unsur-unsur pengurusan pemasaran dalam jualan perniagaan serta memahami perbezaan antara kedua-dua. -- UPM

- nej/kgo/kam


SXDdEAi~